KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak semestinya perlu memilih antara Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara mutlak, sebaliknya boleh mempertimbangkan sistem cukai hibrid yang menggabungkan kelebihan kedua-dua mekanisme.
Ini bagi mewujudkan sistem percukaian yang lebih cekap, telus dan tidak terlalu membebankan rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata antara elemen paling penting yang wajar diambil daripada GST ialah mekanisme kredit cukai input, yang membolehkan perniagaan menuntut semula cukai yang dibayar ke atas input.
Katanya, mekanisme berkenaan dapat mengelakkan cukai berganda sepanjang rantaian bekalan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos dan harga pada peringkat akhir.
“Tanpa kredit cukai input daripada GST, harga barang akan meningkat kerana berlaku cukai bertindih,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, elemen GST dari segi skop kutipan yang lebih luas dan telus juga boleh dipertimbangkan kerana cukai dikenakan pada setiap peringkat rantaian bekalan, termasuk pengilang, pemborong dan peruncit.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja dapat meningkatkan ketelusan, malah berpotensi menjadikan kutipan hasil kerajaan lebih stabil serta mengurangkan ruang untuk elak cukai.
Beliau berkata, aspek pendigitalan dan penggunaan sistem invois pula dilihat mampu membantu pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memantau transaksi dengan lebih berkesan serta menghasilkan data percukaian yang lebih tersusun.
Namun, katanya, elemen SST juga wajar dikekalkan bagi memastikan sistem baharu tidak meningkatkan beban pematuhan, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Aimi berkata, dalam model hibrid yang dicadangkan, kadar asas boleh ditetapkan pada paras rendah sekitar empat hingga lima peratus, manakala kadar lebih tinggi antara lapan hingga 10 peratus boleh dikenakan ke atas barangan mewah dan perkhidmatan premium.
“Kerajaan boleh ambil yang terbaik daripada kedua-dua sistem. GST memberi kecekapan dan ketelusan, manakala SST memberi rasa lebih ringan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohd Rizal Palil, berkata banyak negara yang menggunakan GST/VAT sahaja kerana sebenarnya ada persamaan di antara GST dan SST.
Beliau berkata, gabungan SST-GST boleh dilakukan, tetapi agak sukar dari segi pentadbiran cukai berikutan penggunaan akta yang berbeza, boleh menjadikan rakyat keliru.
“Saya lebih suka GST sebagai cukai ‘stand alone’ untuk cukai penggunaan di Malaysia. Memudahkan pihak kastam dan memudahkan rakyat memahaminya.
“Hibrid atau tidak hibrid pada saya bukan isunya – yang lebih penting adalah kerajaan perlu pastikan hasil kutipan cukai meningkat dengan signifikan serta kadar pematuhan cukai lebih tinggi,” katanya.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ida Md Yasin pula berpandangan kerajaan wajar memilih satu sistem percukaian sahaja berbanding melaksanakan pendekatan hibrid yang menggabungkan GST dan SST bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan industri, peniaga dan pengguna.
Beliau berkata, pelaksanaan dua sistem secara serentak berpotensi menimbulkan kekeliruan apabila sesetengah barangan atau perkhidmatan dikenakan SST, manakala yang lain pula tertakluk kepada GST.
Ida berkata, walaupun GST secara asasnya mempunyai asas cukai yang lebih meluas, kerajaan masih mempunyai ruang untuk menentukan barangan dan perkhidmatan tertentu yang dikecualikan atau dikenakan kadar sifar bagi melindungi keperluan asas rakyat.