Gamuda semakin kukuh dalam segmen pembinaan pusat data

KUALA LUMPUR: Kontrak baharu bernilai RM1.7 bilion di Port Dickson, Negeri Sembilan mengukuhkan lagi kedudukan Gamuda Bhd dalam segmen pembinaan pusat data yang kini semakin berkembang.

Kerja-kerja pusat data dianggarkan merangkumi kira-kira 11 peratus daripada baki buku pesanan semasa kumpulan yang kini mencecah sebanyak RM54 bilion.

Projek pusat data kedua yang dimenangi Gamuda di Negeri Sembilan itu merangkumi kemudahan setingkat berskala besar yang terdiri daripada kerja-kerja prasarana, pembinaan teras dan luaran bangunan, juga pembinaan pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim, berkata kontrak berkenaan dijangka menambah kapasiti pusat data sekitar 80 megawatt (MW), berdasarkan andaian kos pembinaan antara RM20 juta hingga RM22 juta bagi setiap MW.

“Projek ini juga dijangka mencatat margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar lapan peratus memandangkan kontrak berkenaan mengandungi mekanisme pelepasan kos yang membolehkan pelanggan menanggung sebahagian besar risiko pembinaan, termasuk kos bahan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau menambah, projek itu dijangka bermula pada suku ketiga 2026 dan siap pada suku kedua tahun kalendar 2028 dan RHB Research tidak menolak kemungkinan kontrak berkenaan diberikan oleh syarikat multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang sama pernah menganugerahkan beberapa projek pusat data kepada Gamuda sebelum ini.

“Pelanggan terbabit memiliki kawasan tanah yang luas di Port Dickson yang berpotensi menempatkan lima hingga tujuh kampus pusat data dengan jumlah kapasiti antara 500MW hingga 700MW.

Menurut Adam lagi, dengan baki buku pesanan kira-kira RM54 bilion dan kadar pelaksanaan kerja sekitar RM1.3 bilion sebulan atau RM6.5 bilion bagi tempoh Ogos hingga Disember, Gamuda perlu memperoleh kontrak baharu bernilai antara RM2.5 bilion hingga RM7.5 bilion lagi bagi mengekalkan paras buku pesanan antara RM50 bilion hingga RM55 bilion menjelang akhir 2026.

“Sasaran itu dilihat mampu dicapai memandangkan Gamuda kini membida projek bernilai sehingga RM50 bilion, termasuk kira-kira RM10 bilion di Malaysia, RM30 bilion di Australia serta RM10 bilion lagi di Singapura dan Taiwan,” katanya.

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran baharu RM6.02 sesaham berbanding RM6.11 sebelum ini berdasarkan penilaian.

Harga sasaran itu mencerminkan potensi kenaikan sekitar 37 peratus selain hasil dividen kira-kira dua peratus bagi tahun kewangan 2027.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menurunkan unjuran pendapatan Gamuda bagi tahun kewangan 2026 hingga tahun kewangan 2028 sebanyak satu peratus berikutan nilai kontrak baharu tahun kewangan 2026 berjumlah RM25.4 bilion, lebih rendah daripada jangkaan awal sebanyak RM27 bilion.

Menurutnya, potensi kenaikan saham Gamuda dijangka terus disokong oleh projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia, termasuk Skim Pelaburan Kapasiti Australia yang menawarkan penjanaan RE sebanyak 5GW di bawah Tender 9, dengan keputusan dijangka diumumkan pada November ini.

Namun, katanya, risiko utama kepada prospek kumpulan ialah tempoh kos input yang tinggi secara berpanjangan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2026/08/1598542/gamuda-semakin-kukuh-dalam-segmen-pembinaan-pusat-data