Kekurangan pemandu lori gugat pertumbuhan sektor pengangkutan Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menangani kekurangan pelaburan dalam keseluruhan ekosistem perkapalan dan logistik apabila jumlah pengendalian kargo di pintu masuk utama terus meningkat, tetapi kapasiti industri sokongan termasuk pengangkutan lori semakin berkurangan.

Pengerusi Persatuan Perkapalan Malaysia (SAM), Ooi Lean Hin, berkata keadaan itu boleh menimbulkan tekanan kepada rantaian bekalan negara sekiranya pertumbuhan kapasiti tidak bergerak seiring dengan peningkatan perdagangan.

Lean Hin, yang juga Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan MTT Shipping and Logistics Bhd, berkata ramai pengusaha pengangkutan lori sedang mempertimbangkan untuk keluar daripada industri ketika sektor berkenaan berdepan kekurangan pemandu, kesesakan dan tempoh pusing ganti yang lemah.

“Jumlah pengendalian kargo di pintu masuk utama mencatatkan pertumbuhan berterusan pada tahun ini tetapi pada masa yang sama, kita berdepan dengan industri yang mempunyai kapasiti semakin berkurangan,” katanya pada sesi panel Persidangan LogiSYM Malaysia 2026.

Beliau berkata isu kekurangan pemandu perlu diberi perhatian kerana perbezaan pendapatan dan keadaan pekerjaan menyebabkan industri lori kurang menarik kepada tenaga kerja. “Jika seorang pemandu boleh mendapat RM4,000 atau RM5,000 sebulan dengan memandu kereta, mengapa dia perlu beralih untuk memandu lori? Itulah isunya. Jika perkara ini tidak ditangani, ia umpama bom jangka,” katanya.

Lean Hin turut mempersoalkan cadangan mengalihkan lebih banyak pergerakan trafik kepada waktu malam sekiranya kekurangan kapasiti asas masih belum diselesaikan. “Jika keperluan pada waktu siang tidak dapat dipenuhi, mengapa perlu beralih kepada waktu malam?” katanya.

Menurutnya, pembinaan kapasiti perlu merangkumi keseluruhan ekosistem dan bukannya tertumpu kepada pelabuhan semata-mata. “Pada pendapat saya, membina kapasiti merupakan aspek yang amat penting dan perlu diberi perhatian serta kerajaan perlu melihat sebab kita tidak melabur dalam pertumbuhan masa depan,” katanya.

Beliau menegaskan peningkatan kapasiti pelabuhan sahaja tidak mencukupi kerana perdagangan turut bergantung kepada keupayaan pengangkutan darat, gudang, tenaga kerja dan komponen logistik lain. “Kapasiti perkapalan sahaja tidak menjamin dapat menampung semua aktiviti perdagangan berikutan terdapat banyak kekangan dalam rantaian bekalan,” katanya.

Pakar industri maritim, Nazery Khalid, pula berkata daya saing pelabuhan tidak lagi boleh diukur hanya berdasarkan jumlah kargo, bilangan persinggahan kapal, infrastruktur atau kapasiti fizikal. “Era mengukur daya saing pelabuhan hanya berdasarkan jumlah kargo yang dikendalikan dan bilangan persinggahan kapal telah berakhir,” katanya kepada Bernama.

Nazery berkata pelabuhan kini turut dinilai berdasarkan keupayaan memberi perkhidmatan kepada kawasan pedalaman, integrasi dengan penyedia logistik, aktiviti nilai tambah seperti zon bebas, pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kecekapan tenaga, kemampanan serta daya tahan terhadap perubahan iklim.

Selain itu, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan pembuatan keputusan berasaskan data semakin membentuk medan persaingan baharu. “Model perniagaan ‘bina dan mereka akan datang’ sudah tidak lagi relevan dan pelabuhan bukan hanya dinilai berdasarkan tumpuan kargo, kren, kos dan kesalinghubungan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd, Vijaya Kumar Puspowanam, berkata pengendali pelabuhan pula perlu berani melabur mendahului permintaan, walaupun terdapat risiko kapasiti baharu tidak digunakan sepenuhnya apabila siap. Westports kini mempunyai kapasiti 14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dan berpotensi meningkat kepada 28 juta TEU, dengan kapasiti baharu dijangka mula beroperasi pada akhir 2028.

Vijaya berkata Westports kekal yakin perdagangan akan terus berkembang dan bersedia meneruskan pembangunan kapasiti sekiranya kadar penggunaan kekal sekitar 80 peratus. “Jika terdapat permintaan berterusan dan jika kita terus mencapai kadar penggunaan 80 peratus, kita yakin untuk terus membina kapasiti sekurang-kurangnya bagi tempoh 15 tahun akan datang. Kami percaya pada pembinaan kapasiti. Kita perlu mendahului keperluan masa depan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/08/1606845/kekurangan-pemandu-lori-gugat-pertumbuhan-sektor-pengangkutan