Kerajaan dijangka tanggung subsidi petroleum hampir RM40 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026 susulan peningkatan harga minyak dunia yang dipacu oleh ketegangan geopolitik dan konflik Asia Barat

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.

“Peningkatan jumlah subsidi ini membolehkan warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas layak menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 sen seliter,” kata kementerian itu menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah terkini peruntukan untuk subsidi petrol dan diesel serta senaraikan pihak lain yang menerima subsidi selain individu rakyat.

Menurut Kementerian Kewangan, manfaat subsidi ini turut dipanjangkan kepada sektor strategik dan kritikal seperti diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter bagi nelayan selain bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi meringankan beban lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 1.0) pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan bas ekspres.

SKDS juga diperluas kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak, di Sabah dan Sarawak yang membolehkan kenderaan komersial membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter.

“Pada masa yang sama, kumpulan sasar terpilih seperti pengusaha bot, pengguna genset dan pam air untuk kegunaan kediaman di kawasan pedalaman yang turut memerlukan pembelian diesel bagi kegunaan harian.

“Individu ini juga layak menerima BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk syarat kelayakan permohonan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan agensinya seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pejabat Residen, Pejabat Daerah atau Unit Perancang Ekonomi Negeri,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi.

Kerajaan MADANI, katanya akan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan.

“Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi sekiranya krisis ini berpanjangan, khususnya kepada golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga global.

“Kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal dan keupayaan subsidi secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat

diteruskan secara mampan dan bersasar,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/07/1580870/krisis-bekalan-global-peluang-bina-asas-ekonomi-lebih-kukuh-kri