Krisis bekalan global peluang bina asas ekonomi lebih kukuh – KRI

KUALA LUMPUR: Krisis bekalan global yang dicetuskan konflik di Asia Barat tidak seharusnya dilihat sebagai cabaran semata-mata, sebaliknya sebagai peluang untuk membina asas ekonomi yang lebih kukuh.

Sejarah menunjukkan bahawa keputusan strategik yang diambil ketika berdepan krisis mampu menentukan tahap daya saing dan kemakmuran sesebuah negara untuk beberapa dekad akan datang.

Menurut penganalisis, setiap krisis besar yang melanda dunia bukan sekadar menguji daya tahan ekonomi, malah membuka ruang kepada pembaharuan dasar yang mampu mengubah hala tuju pembangunan sesebuah negara untuk tempoh yang panjang.

Justeru, penganalisis berpendapat Malaysia perlu menjadikan krisis gangguan bekalan global yang sedang berlaku sebagai titik perubahan bagi memperkukuh daya saing negara, sebagaimana negara ini memanfaatkan krisis minyak pada era 1970-an untuk membina asas ekonomi yang lebih kukuh.

Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Nur Fareza Mustapha, berkata pengajaran terbesar daripada krisis tenaga pada 1970-an adalah kesannya tidak terhad kepada kekurangan bekalan minyak dan lonjakan inflasi semata-mata.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa ia mencetuskan perubahan besar terhadap institusi ekonomi global, kerangka dasar makroekonomi serta hubungan geopolitik yang masih mempengaruhi ekonomi dunia sehingga hari ini.

Menurutnya, antara perubahan paling ketara ialah penubuhan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang menyelaraskan kerjasama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak dari negara pengeluar utama, sekali gus mengubah landskap pasaran tenaga dunia.

Bagi Malaysia, jelasnya, krisis minyak pada awal 1970-an turut menjadi pemangkin kepada beberapa pembaharuan strategik yang akhirnya menjadi tonggak pembangunan ekonomi negara.

Katanya, pada 1974, ketika dunia berdepan kekurangan bekalan petroleum, kerajaan meluluskan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memberikan hak eksklusif kepada PETRONAS untuk meneroka dan mengurus sumber petroleum negara.

“Langkah itu membolehkan Malaysia mengukuhkan kedaulatan ke atas sumber asli negara ketika sebahagian besar medan minyak masih diterokai syarikat asing.

“Bersama pelaksanaan Dasar Petroleum Negara 1975, PETRONAS kemudiannya berkembang menjadi antara penyumbang terbesar kepada hasil negara dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia selama beberapa dekad,” katanya.

Selain sektor tenaga, Nur Fareza berkata, kerajaan ketika itu turut memperkenalkan Rancangan Buku Hijau pada penghujung 1974 bagi meningkatkan pengeluaran makanan domestik ketika negara berdepan kekurangan bekalan makanan.

Menurutnya, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, memberi penekanan kepada penggunaan tanah secara produktif bagi memperkukuhkan sekuriti makanan negara serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

Katanya, program berkenaan, bersama Dasar Ekonomi Baru (DEB), menjadi antara pemacu utama pembangunan luar bandar dan pengukuhan ekonomi domestik.

Menurut Nur Fareza, sejarah membuktikan bahawa tempoh krisis sering menjadi detik penting yang membolehkan kerajaan melaksanakan pembaharuan yang sebelum ini sukar dilakukan berikutan kekangan politik atau ekonomi.

Beliau berkata, keadaan luar biasa seperti gangguan rantaian bekalan global, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan landskap perdagangan dunia seharusnya dimanfaatkan bagi mempercepat reformasi ekonomi yang mampu meningkatkan produktiviti negara dalam jangka panjang.

Katanya, ketika menempuh krisis semasa adalah penting untuk Malaysia mengenal pasti dan meneruskan laluan atau trajektori pembangunan yang boleh menghasilkan penambahbaikan yang berkekalan kepada kesejahteraan keseluruhan negara untuk meningkatkan kualiti hidup isi rumah Malaysia dan produktiviti firma.

Beliau berkata, langkah bantuan jangka pendek seperti pengurusan permintaan bahan api bersubsidi walaupun perlu, ia tidak mencukupi dengan sendirinya.

“Malaysia juga mesti meneruskan intervensi strategik yang sejajar dengan matlamat dan objektif pembangunan yang lebih luas yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) serta di bawah rangka kerja Malaysia MADANI,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/07/1580870/krisis-bekalan-global-peluang-bina-asas-ekonomi-lebih-kukuh-kri