Keterjaminan makanan negara berada pada tahap baik – DOSM

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan dalam tahap keterjaminan makanan apabila Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia (IKMM) 2024 meningkat kepada 61.5 mata berbanding 54.5 mata pada 2023, sekali gus meletakkan prestasi keterjaminan makanan negara pada tahap baik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan skor keseluruhan itu dipacu, terutama oleh prestasi lebih baik dalam dimensi kebolehcapaian dan kestabilan.

“IKMM 2024 mencatatkan skor keseluruhan 61.5, meningkat daripada 54.5 pada tahun 2023, sekali gus menunjukkan keterjaminan makanan negara berada pada tahap prestasi baik.

“Prestasi ini dipacu terutama oleh Indeks Kebolehcapaian yang mencatatkan skor tertinggi 79.9, diikuti Indeks Kestabilan 54.6, Indeks Penggunaan 50.4 dan Indeks Ketersediaan 50.0,” katanya ketika melancarkan indeks berkenaan sempena program Simfoni Data dan Media di sini, hari ini.

Laporan awalan IKMM yang diterbitkan buat julung kali itu menyediakan ukuran menyeluruh terhadap prestasi keterjaminan makanan negara berdasarkan 25 indikator utama merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan.

Menurut DOSM, dimensi kebolehcapaian merekodkan peningkatan paling ketara kepada 79.9 mata berbanding 59.6 mata pada tahun sebelumnya, disokong oleh penambahbaikan dalam beberapa indikator, termasuk inflasi kumpulan makanan, jalan tidak berturap serta nilai gaji dan upah penengah bulanan.

Dimensi kestabilan pula meningkat kepada 54.6 mata daripada 40.2 mata, didorong antaranya oleh penggunaan per kapita serta perubahan suhu maksimum dan minimum.

Pada masa sama, dimensi penggunaan turut mencatatkan peningkatan kepada 50.4 mata berbanding 48.5 mata pada 2023, disumbangkan oleh peningkatan kebanyakan indikator termasuk prevalens berlebihan berat badan dan obesiti kanak-kanak bawah lima tahun, jangkaan hayat ketika lahir serta akses kepada sumber air.

Bagaimanapun, dimensi ketersediaan menurun kepada 50.0 mata daripada 54.3 mata pada tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, penurunan itu dipengaruhi beberapa indikator utama, termasuk import dan eksport pertanian makanan utama, kerugian lepas tuai serta bekalan tenaga tersedia per kapita mengikut kumpulan makanan terpilih.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, indeks berkenaan menjadi inisiatif strategik untuk memperkukuh pemantauan keterjaminan makanan negara berasaskan data dan bukti, selain membantu mengenal pasti keperluan intervensi bagi memperkukuh sistem makanan negara.

Indeks itu juga akan menjadi rujukan dalam merangka serta memantau pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, purata gaji pekerja Bumiputera dan bukan Bumiputera mencatat peningkatan melebihi lima peratus, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam corak pendapatan rakyat, meskipun masih terdapat ruang untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang berdaya maju.

“Jika dilihat dari segi gaji, secara umumnya gaji Bumiputera dan bukan Bumiputera meningkat pada kadar yang agak baik, iaitu melebihi lima peratus ketika ini.

“Sudah tentu terdapat perbezaan dari segi komposisi dan saiz populasi antara kumpulan etnik. Bagi sesetengah kumpulan yang mempunyai bilangan lebih kecil, peningkatan itu mungkin lebih ketara.

“Namun, bagi Bumiputera yang mempunyai populasi lebih besar, pencapaian secara purata akan dipengaruhi oleh keseluruhan komposisi terbabit,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/07/1583538/keterjaminan-makanan-negara-berada-pada-tahap-baik-dosm