Dasar EV perlu seimbang antara industri, pengguna – Pemerhati pasaran

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menetapkan syarat baharu terhadap kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) bermula 1 Julai 2026 dilihat mampu memperkukuh pembangunan industri automotif tempatan, namun pada masa sama mengehadkan akses rakyat kepada EV mampu milik jika pelaksanaannya tidak diseimbangkan dengan kepentingan pengguna.

Penganalisis pasaran bebas, Amarjeet Singh, berkata dasar baharu itu mempunyai matlamat industri yang jelas apabila kerajaan menetapkan EV CBU perlu memenuhi nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) RM200,000 selain kuasa minimum 180 kilowatt (kW) atau kira-kira 245 PS.

Beliau berkata, pendekatan itu secara asasnya bertujuan menggalakkan pemasangan tempatan (CKD), menarik pelaburan baharu serta memperkukuh pembangunan vendor automotif tempatan dalam ekosistem EV negara.

Bagaimanapun, katanya, kesan sampingan daripada polisi berkenaan juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mengehadkan kemasukan EV CBU mampu milik yang sebelum ini menjadi pemacu utama pertumbuhan pasaran EV tempatan.

“Tujuannya jelas iaitu untuk menggalakkan CKD, pelaburan tempatan dan vendor tempatan. Namun, dalam masa sama, EV mampu milik CBU akan menjadi semakin terhad, pilihan pengguna mengecil dan kadar peralihan rakyat biasa kepada EV boleh menjadi perlahan.

“Dasar ini tidak salah dari sudut membina industri. Yang menjadi persoalan ialah bagaimana ia dilaksanakan supaya tidak akhirnya melindungi industri tetapi menghukum pengguna,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Amarjeet berkata, dasar itu mampu memberi impak positif sekiranya ia benar-benar diterjemahkan kepada pembangunan industri tempatan yang menyeluruh termasuk pemindahan teknologi, latihan tenaga kerja mahir, pengukuhan vendor tempatan serta potensi eksport pada masa depan.

Beliau berkata, tanpa pelaksanaan yang jelas dan sasaran pembangunan industri yang kukuh, polisi berkenaan berisiko dilihat sekadar langkah perlindungan pasaran yang akhirnya memberi tekanan kepada pengguna.

Katanya lagi, antara kebimbangan terbesar ketika ini ialah kemungkinan pasaran EV Malaysia berubah daripada pasaran berorientasikan kemampuan milik kepada pasaran premium yang hanya mampu dimiliki golongan tertentu.

Beliau menjelaskan, syarat minimum CIF RM200,000 dan kuasa 180 kW dijangka menyebabkan banyak model EV kompak dan value-for-money, khususnya dari China, tidak lagi sesuai dijual sebagai CBU kecuali dipasang secara tempatan.

“Ini boleh menukar EV daripada teknologi untuk rakyat kepada teknologi untuk golongan berkemampuan. Sedangkan kekuatan EV China selama ini ialah gabungan harga kompetitif, spesifikasi dan nilai yang tinggi untuk pengguna,” katanya.

Amarjeet berkata, simulasi industri menunjukkan EV CBU dengan nilai CIF RM200,000 berpotensi mencatat harga runcit sekitar RM300,000 selepas mengambil kira duti import, cukai dan margin jualan.

Katanya, peningkatan harga sedemikian boleh memberi kesan besar terhadap sentimen pengguna, khususnya dalam kalangan pembeli yang sebelum ini melihat EV sebagai alternatif lebih ekonomik dan praktikal untuk jangka panjang.

“Jika harga EV CBU mencecah sekitar RM300,000 selepas cukai, pengguna biasa akan kembali bertanya, ‘untuk apa saya beli EV?’ kerana kos pemilikan menjadi jauh lebih tinggi berbanding jangkaan asal.

“Pada akhirnya, akses kepada teknologi hijau menjadi semakin sempit dan keyakinan pengguna untuk beralih daripada kenderaan enjin petrol kepada EV juga boleh terganggu,” katanya.

Beliau menegaskan, agenda mempercepat penggunaan EV sepatutnya dipacu menerusi kemampuan milik dan akses lebih meluas kepada rakyat, bukannya bergantung semata-mata kepada naratif teknologi hijau.

Dalam masa sama, Amarjeet berpandangan kejayaan sebenar dasar itu hanya boleh diukur dalam jangka panjang sekiranya Malaysia berjaya membina ekosistem EV yang lengkap merangkumi pemasangan tempatan, pembangunan bateri, komponen, perisian, pusat servis, rangkaian pengecasan serta latihan teknikal.

Katanya, Malaysia juga perlu berhati-hati supaya tidak terlalu menutup pasaran sehingga negara lain di rantau ini menjadi lebih kompetitif dalam menarik pengguna dan pelaburan EV mampu milik.

“Jika kita terlalu menutup pasaran, kita mungkin melindungi industri hari ini tetapi tertinggal dalam perlumbaan EV serantau pada masa depan.

“Lindungi vendor tempatan, tetapi jangan matikan pilihan pengguna. Galakkan CKD, tetapi jangan jadikan EV sebagai barang mewah. Malaysia perlukan EV yang mampu dimiliki rakyat, bukan sekadar EV yang mampu dipamerkan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, langkah kerajaan memperkenalkan syarat baharu terhadap EV CBU adalah usaha yang baik untuk melindungi syarikat yang sudah melabur dalam negara, namun pelaksanaannya perlu lebih seimbang supaya tidak menjejaskan pilihan pengguna dan momentum pertumbuhan pasaran EV tempatan.

Beliau berkata, penetapan syarat CIF RM200,000 serta kuasa minimum 180 kW memberi objektif lebih jelas kepada industri automotif tempatan khususnya dalam menggalakkan CKD, pembangunan vendor dan pelaburan jangka panjang.

Bagaimanapun, katanya, industri EV masih terlalu baharu dan pengeluar dari China mempunyai pendekatan perdagangan berbeza berbanding Jepun atau Eropah kerana mereka dilihat kurang gemar memberi pegangan majoriti kepada vendor tempatan.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu memahami realiti ini kerana jika pasaran Malaysia dianggap terlalu sukar, syarikat dari China boleh memilih untuk meninggalkan pasaran begitu sahaja,” katanya.

Hezeri menegaskan, pengumuman dasar baharu itu juga dibuat ketika rakyat sedang berdepan ketidaktentuan harga bahan api dan mencari alternatif pengangkutan yang lebih ekonomik, menyebabkan sebahagian pengguna melihat polisi berkenaan sebagai kurang sensitif terhadap keperluan semasa rakyat yang mahukan pilihan kenderaan lebih mampu milik dan efisien.

Mengulas risiko pasaran EV Malaysia menjadi lebih eksklusif, beliau berkata, kerajaan sememangnya perlu berhati-hati terhadap lambakan EV murah dari China kerana strategi subsidi dan “dumping” sudah mula memberi kesan di beberapa negara jiran.

Namun begitu, katanya, pengguna masih perlu diberikan kebebasan untuk membuat pilihan, sedangkan ketika ini pilihan EV mampu milik di Malaysia masih sangat terhad.

“Pasaran EV Malaysia akan terus berkembang, tetapi ia mungkin hanya tertumpu kepada satu segmen tertentu sahaja. Industri juga memerlukan masa untuk merancang dan kerajaan perlu memberi hala tuju yang konsisten sekurang-kurangnya bagi tempoh lima hingga 10 tahun,” katanya.

Dalam masa sama, Hezeri berkata, kenaikan harga EV CBU sehingga sekitar RM300,000 selepas cukai dan duti dijangka menjadikan kenderaan hibrid serta plug-in hybrid electric vehicle (PHEV) lebih menarik kepada pengguna.

Katanya, perkembangan itu ada sisi positif memandangkan prasarana dan perundangan berkaitan EV di Malaysia masih belum matang sepenuhnya.

“Kita baru melihat garis panduan pemasangan pengecas diumumkan, tetapi masih banyak perkara belum bersedia termasuk industri insurans yang masih mencari data untuk pengiraan risiko EV serta industri pembaikan EV yang belum mempunyai standard nasional,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga tidak boleh membenarkan semua jenama luar memasuki pasaran dan menurunkan harga sesuka hati kerana situasi sedemikian pernah berlaku dalam industri motosikal tempatan sebelum ini sehingga akhirnya memberi kesan kepada pengguna sendiri.

Justeru, katanya, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara melindungi kepentingan negara dan memenuhi kehendak pengguna, selain memastikan jenama nasional terus dipacu menjadi lebih kompetitif di peringkat eksport.

“Jika kita terlalu melindungi jenama nasional tanpa memaksa mereka berdikari dan berkembang ke pasaran luar, mereka akan kekal sebagai jaguh kampung yang hanya menguntungkan rakan kongsi tertentu sahaja,” katanya.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Iftaar Hakim Rusli pula berpandangan, dasar baharu kerajaan itu dijangka memberi tekanan kepada peserta automotif yang bergantung kepada jualan EV import, khususnya dalam segmen pasaran massa.

Beliau berkata, berdasarkan polisi yang berkuatkuasa 1 Julai 2026 itu akan membawa perubahan besar kepada landskap pasaran EV tempatan kerana sekiranya nilai CIF RM200,000 dikenakan bersama cukai sekitar 25 peratus bagi EV yang diimport dari China, harga atas jalan (OTR) kenderaan itu boleh mencecah sekitar RM250,000 tidak termasuk margin pengedar.

“Kebanyakan model EV di Malaysia ketika ini berada di bawah paras CIF RM200,000 dan mempunyai kuasa motor lebih rendah daripada syarat minimum yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Iftaar berkata, dalam kalangan 20 model EV terlaris di Malaysia, hanya lima model dilihat tidak terjejas dengan dasar baharu itu, termasuk dua model tempatan iaitu Proton e.MAS 5 dan Proton e.MAS 7.

Katanya, perkembangan itu memberi kesan besar kepada segmen EV pasaran umum terutama jenama dari China seperti BYD yang sebelum ini menjadi pemacu utama pertumbuhan EV negara menerusi penawaran model lebih mampu milik.

“Dasar ini mengganggu segmen kenderaan pasaran umum, sekali gus memberi isyarat bahawa semua pemain EV perlu mempercepat usaha penyetempatan produk dan pemasangan tempatan dalam industri,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2026/05/1543156/dasar-ev-perlu-seimbang-antara-industri-pengguna-pemerhati-pasaran