KUALA LUMPUR: Krisis bekalan susulan konflik Asia Barat kini memberi ancaman serius kepada rantaian bekalan sektor pembuatan negara apabila majoriti pengilang melaporkan bekalan bahan mentah kritikal semakin merosot sejak awal April 2026.
Keadaan itu mendedahkan industri kepada risiko operasi terjejas berikutan ketidakupayaan menampung proses pengeluaran dalam masa terdekat secara berterusan.
Berdasarkan dapatan tinjauan kedua berkenaan impak krisis Asia Barat yang dikeluarkan oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), sebanyak 70 peratus daripada 225 responden mendapati ketersediaan bahan mentah bertambah buruk.
Lebih membimbangkan, 40 peratus responden mendedahkan mereka kini hanya mempunyai inventori bahan mentah yang mampu bertahan antara satu hingga dua bulan, manakala enam peratus lagi memiliki stok untuk kurang daripada dua minggu.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok dalam satu kenyataan berkata, kategori input pengeluaran teras yang paling terjejas merangkumi resin dan polimer, bahan mentah petrokimia termasuk nafta dan benzena, bahan kimia industri dan pelarut, logam dan aloi serta bahan pembungkusan.
Menurutnya, bahan asas berkenaan amat penting untuk kelangsungan operasi pembuatan dan tidak mempunyai pengganti sedia ada di pasaran.
“Apa yang bermula sebagai gangguan kos pengangkutan dan logistik kini telah merebak ke seluruh rantaian nilai pembuatan, menjejaskan ketersediaan bahan mentah, jumlah pesanan, aliran tunai, keputusan pelaburan dan pekerjaan,” tegasnya.
Dapatan kaji selidik FMM itu menunjukkan 72 peratus responden beralih ke China sebagai negara sumber alternatif utama.
Bagaimanapun, usaha berkenaan berdepan jalan buntu apabila 48 peratus pengilang menghadapi halangan dari segi ketidakpadanan kualiti atau spesifikasi produk yang diperlukan.
Menurut data tinjauan FMM itu, hanya 13 peratus pengilang yang berjaya mendapatkan pembekal alternatif yang beroperasi sepenuhnya secara komersial.
Krisis bahan mentah itu turut diburukkan lagi dengan lonjakan ketara bil logistik, dengan 87 peratus responden melaporkan kos pengangkutan jauh lebih tinggi berbanding sebelum penghujung Februari 2026.
Gangguan perkapalan yang memaksa kapal dilencongkan melalui Tanjung Harapan telah memanjangkan tempoh transit ke Eropah menjadi 35 hingga 45 hari berbanding 25 hingga 30 hari sebelum krisis.
Tekanan kos operasi bukan saja berlaku di peringkat global, malah 49 peratus responden turut merekodkan peningkatan kos pengangkutan domestik yang disifatkan berpunca daripada masalah kehabisan kuota diesel bersubsidi dalam kalangan syarikat logistik darat.
Apabila kuota habis, kos operasi syarikat pengangkutan meningkat mendadak dan laluan yang kurang menguntungkan terpaksa ditinggalkan, sekali gus meletakkan beban kos tambahan itu terus kepada bahu pengilang.
Rentetan daripada rentetan gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos yang berterusan itu, tekanan tunai perniagaan semakin meruncing.
Seramai 68 peratus pengilang kini bergelut dengan tekanan modal pusingan yang tinggi, yang seterusnya membawa kepada kesan rantaian di mana 60 peratus daripada syarikat terpaksa menangguhkan atau membatalkan perancangan pelaburan, automasi dan pembesaran perniagaan.
Impak krisis yang meruncing itu kini mula memberi ancaman langsung kepada pasaran kerja pekerja tempatan, terutamanya bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memiliki kurang daripada 75 orang pekerja.
FMM melaporkan bahawa seramai 28 peratus responden telah membuat atau merancang penyelarasan tenaga kerja, manakala 40 peratus lagi telah mengambil langkah memendekkan waktu bekerja atau memotong tuntutan kerja lebih masa bagi memastikan perniagaan dapat bertahan.
Menyedari masa yang semakin suntuk bagi industri bernafas, FMM telah menggariskan lapan cadangan rasmi bagi perhatian kerajaan, di mana sejumlah 65 peratus pengilang mendesak agar pengecualian cukai dan duti diberikan segera kepada urusan bahan mentah dari pasaran alternatif.
Langkah itu dilihat sangat kritikal dan mendesak untuk membolehkan pengilang mengimport bahan keperluan pengeluaran dari pasaran baharu tanpa dibebani dengan pertambahan kos.
Selain kelonggaran cukai, ahli industri turut memohon supaya mekanisme rebat bagi kos penstabilan bahan api atau skim subsidi industri yang disasarkan dapat diperkenalkan.
Tuntutan penting itu disokong kuat oleh 52 peratus pengilang yang kini dikecualikan daripada Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), yang menyebabkan mereka terpaksa menyerap sepenuhnya semua kenaikan kos bahan api di pasaran terbuka.