MIHAS 2026 dijangka jana jualan keseluruhan RM4.5 bilion

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia edisi ke-22 (MIHAS 2026) yang bakal diadakan dari 23 hingga 26 September 2026 dijangka menjana jualan keseluruhan sebanyak RM4.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof, berkata jangkaan jualan keseluruhan itu mengambil kira ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata, MATRADE di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bercadang untuk menarik sekurang-kurangnya 2,300 pempamer dari lebih 20 negara bagi penganjuran MIHAS kali ini.

Katanya, penganjuran edisi ke-22 akan mempunyai komponen Women in Export (WiEX) buat pertama kali, menggabungkan elemen keusahawanan membabitkan usahawan wanita dan pengeksport wanita.

Menurutnya, ia selaras dengan tujuan MITI dan MATRADE untuk melihat lebih ramai usahawan wanita menerokai pasaran antarabangsa.

“Secara keseluruhannya, sasaran jualan kita adalah sebanyak RM4.5 bilion. Pada tahun lalu, sasaran kita adalah RM4.3 bilion. Sasaran tahun ini juga mengambil kira situasi geopolitik semasa,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran MIHAS 2026 di sini, hari ini.

Prapelancaran MIHAS 2026 disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan & Pengurusan) MITI, Datuk Bahria Mohd Tamil.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Bakar berkata, pada tahun lalu Malaysia mengeksport hampir RM70 bilion produk halal.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan menyasarkan eksport produk halal mencapai RM80 bilion menjelang 2030.

Katanya, strategi MATRADE bagi tahun ini adalah untuk mempelbagaikan pasaran eksport negara di tengah-tengah krisis bekalan global yang dicetuskan konflik di Asia Barat.

Menurutnya, pendedahan eksport negara di Asia Barat adalah terhad buat masa ini iaitu kira-kira tiga peratus dari keseluruhan jumlah perdagangan negara.

“Dengan mengambil kira situasi geopolitik semasa, kita menyasarkan eksport secara keseluruhan akan berkembang antara tiga hingga lima peratus tahun ini.

“Kalau melihat kepada angka yang telah dikeluarkan baru-baru ini untuk suku pertama tahun ini, eksport masih lagi menunjukkan peningkatan. Namun, kita berpendapat krisis bekalan global dijangka menampakkan kesan pada suku kedua,” katanya.

Abu Bakar berkata, strategi mempelbagaikan pasaran eksport negara merangkumi pasaran yang sedang membangun seperti Afrika, pasaran Asia Selatan seperti Kazakhstan dan Uzbekistan serta pasaran Asia Selatan seperti Bangladesh dan Sri Lanka di samping pasaran ASEAN.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/04/1539332/mihas-2026-dijangka-jana-jualan-keseluruhan-rm45-bilion