Malaysia cemerlang rekod lebihan dagangan lima bulan tertinggi RM132.77 bilion

KUALA LUMPUR: Sektor perdagangan luar Malaysia mencatatkan daya tahan strategik yang luar biasa, dengan jumlah perdagangan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 berkembang sebanyak 18.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.455 trilion.

Didorong oleh permintaan tinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan permintaan tenaga global yang tinggi, eksport melonjak 24.3 peratus kepada RM793.84 bilion, mengatasi pertumbuhan import sebanyak 11.8 peratus kepada RM661.07 bilion.

Prestasi cemerlang ini mendorong lebihan dagangan Malaysia ke paras tertinggi sebanyak RM132.77 bilion bagi tempoh lima bulan, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding RM46.93 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof, berkata eksport elektrik dan elektronik (E&E) melonjak 39.7 peratus kepada RM382.89 bilion, didorong oleh peningkatan luar biasa sebanyak 61.6 peratus dalam eksport semikonduktor yang dikhususkan untuk infrastruktur AI global.

Beliau berkata, produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 22.9 peratus dan 1.5 peratus, dipacu oleh lonjakan harga tenaga global susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Tambahan pula, eksport komponen automotif dan kenderaan elektrik (EV) dan ‘plug-in hybrid’ dalam industri serta pertumbuhan bernilai tinggi (HGHV) juga berganda 115.8 peratus, membuktikan bahawa kedudukan Malaysia semakin kukuh dalam rantaian nilai global,” katanya dalam satu kenyataan.

Abu Bakar turut menekankan kedudukan Malaysia yang melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, naik daripada tangga ke-23 setahun sebelumnya sebagai pengiktirafan lanjut terhadap hala tuju ekonomi negara.

“Kedudukan Malaysia yang melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, pencapaian terbaik kita dalam tempoh terkini, merupakan pengesahan luaran yang jelas terhadap asas-asas yang sama yang mendorong prestasi perdagangan kita pada hari ini.

“Peningkatan yang dicapai merentasi prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur adalah bukti nyata bahawa Malaysia sedang membina ekosistem yang betul, ekosistem yang melahirkan pengeksport serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya saing, mampu memenangi kontrak global dan semakin mendalam dalam rantaian nilai antarabangsa.

“Rekod lebihan dagangan RM132.77 bilion dan kedudukan dalam 15 teratas daya saing dunia yang dicapai dalam tempoh yang sama menceritakan kisah yang sama iaitu Malaysia semakin menjadi destinasi perniagaan yang lebih boleh dipercayai dan lebih cekap, dan dunia mula menyedarinya,” katanya.

Selain pasaran tradisional, Malaysia terus mempelbagaikan landskap eksportnya merentasi rantau yang baharu muncul ke Amerika Latin, Asia Tengah, Oceania, Afrika serta Eropah Tengah dan Timur secara kolektif mencatatkan pertumbuhan yang kukuh.

Antara negara yang mencatatkan prestasi luar biasa termasuklah Mexico (46.2 peratus), Brazil (18.5 peratus), Uzbekistan (33.8 peratus), Croatia (117.9 peratus), Bulgaria (106.9 peratus) dan Hungary (64.6 peratus), di samping lonjakan luar biasa di pasaran-pasaran perintis seperti Sudan (264 peratus), Liberia (140.2 peratus) dan Republik Demokratik Congo (137.8 peratus).

Abu Bakar berkata, MATRADE akan terus memantau perkembangan semasa di Asia Barat bagi menangani gangguan bekalan global yang dihadapi oleh penggiat industri dan pengeksport di Malaysia.

“Melalui 47 pejabat perdagangan luar negara MATRADE serta Pasukan Trade Resilience Task Force yang ditubuhkan, kami akan sentiasa mengadakan libat urus secara konsisten dengan penggiat industri tempatan, pengeksport dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi mempermudah akses pasaran.

“Ini adalah untuk memastikan gangguan itu dapat diatasi dengan berkesan, sekali gus memastikan perdagangan dan eksport Malaysia terus berkembang,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/06/1575857/malaysia-cemerlang-rekod-lebihan-dagangan-lima-bulan-tertinggi