KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia terus berada pada trajektori pengembangan pada suku pertama 2026, meningkat sebanyak 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Eksport meningkat 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, mencatat nilai suku tahunan yang kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM63.22 bilion.
Ini merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan bagi suku pertama untuk perdagangan, eksport dan import.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, peningkatan eksport pada suku tahun pertama didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap barangan perkilangan, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan optik dan saintifik, dan juga hasil galian, khususnya bijih logam dan serpihan logam.
Katanya, barangan E&E terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan eksport, dengan peningkatan melebihi RM40 bilion, disokong oleh permintaan global yang mampan serta penggunaan teknologi yang berterusan dalam kalangan pasaran utama.
“Ketiga-tiga barangan ini merekodkan nilai eksport suku tahunan yang tertinggi setakat ini,” katanya.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu China, Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan kukuh dua angka pada suku pertama 2026, manakala eksport ke ASEAN berkembang dengan lebih sederhana.
Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, dengan eksport yang lebih tinggi direkodkan ke pasaran seperti Hong Kong, Mexico, Korea Selatan, India dan United Kingdom (UK).
Eksport ke AS, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan merekodkan nilai suku tahunan tertinggi setakat ini.
Menurut MITI, bagi bulan Mac 2026, perdagangan mengekalkan trajektori peningkatan, berkembang 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM272.95 bilion, disokong oleh pertumbuhan kedua-dua eksport dan import.
Ia berkata, eksport meningkat 8.3 peratus kepada RM148.75 bilion, nilai bulanan kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 10.4 peratus kepada RM124.20 bilion.
“Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM24.55 bilion, merupakan lebihan yang ke-71 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import mencecah nilai bulanan tertinggi bagi bulan Mac,” katanya.
Sementara itu, MITI menegaskan bahawa ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat meningkatkan
ketidaktentuan dalam perdagangan global serta memberi tekanan ke atas kos logistik dan kecekapan rantaian bekalan.
Seiring itu, ia berkata prospek luaran yang bercampur direkodkan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan volum perdagangan barangan global pada 2026 akan berkembang lebih sederhana, iaitu sebanyak 1.9 peratus.
“Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan eksport Malaysia berkembang 8.6 peratus, manakala import dijangka meningkat sembilan peratus, mencerminkan permintaan domestik dan luaran yang lebih kukuh,” katanya.
Dalam perkembangan lain, integrasi kukuh Malaysia dalam perdagangan global turut dizahirkan melalui peningkatan dalam ranking WTO 2025, dengan eksport naik daripada tempat ke-25 kepada ke-23 dunia, perdagangan daripada tempat ke-24
kepada ke-23, dan import daripada tempat ke-25 kepada ke-24.
MITI berkata, meskipun pencapaian ini mencerminkan daya tahan serta penglibatan mendalam Malaysia dalam rantaian bekalan global, prospek kekal terdedah kepada risiko luaran.
Katanya, tahap kewaspadaan yang berterusan adalah penting memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan ini berpotensi menjejaskan permintaan global serta mengganggu dinamik rantaian bekalan.
“MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus memantau rapat perkembangan global, manakala pengeksport digalakkan memanfaatkan FTA sedia ada, meneroka pasaran baharu serta mempelbagaikan penawaran barangan bagi memperkukuh daya tahan dalam persekitaran yang mencabar ini,” katanya.