Inflasi Mac naik 1.7 peratus, tertinggi dalam 14 bulan

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.7 peratus pada Mac 2026, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia lebih tinggi daripada kadar 1.4 peratus pada bulan sebelumnya dan adalah bacaan tertinggi dalam tempoh 14 bulan iaitu sejak Januari 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata inflasi Malaysia pada Mac 2026 didorong terutamanya oleh peningkatan kumpulan pengangkutan kepada 1.6 peratus daripada -0.7 peratus pada Februari 2026.

Namun begitu, katanya kumpulan pendidikan (2.5 peratus), makanan dan minuman (1.1 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus) menyederhana berbanding bulan sebelumnya.

“Manakala, kumpulan pakaian dan kasut mencatatkan penurunan marginal kepada -0.1 peratus pada Mac 2026 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh DOSM.

Mohd Uzir berkata, krisis tenaga global yang bermula pada 28 Februari 2026 telah berlarutan sehingga kini dan melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk melindungi rakyat, manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selari dengan kenaikan harga global.

“Walau bagaimanapun, dengan mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, beban subsidi terus meningkat.

“Dengan harga minyak mentah mencecah AS$100 setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan. Sehubungan itu, kerajaan telah melaraskan had siling kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai April 2026.

“Pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil,” katanya.

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Mac 2026 mencatatkan RM4.03 seliter berbanding RM3.11 seliter pada Februari 2026.

Sementara itu, purata harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM4.12 seliter berbanding RM2.98 seliter pada Februari 2026.

Manakala, purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. Purata harga pasaran petrol tanpa plumbum RON95 meningkat kepada RM3.16 seliter berbanding harga subsidi sebanyak RM1.99 seliter.

Selain itu, subkumpulan perkhidmatan pengangkutan awam yang meningkat 7.0 peratus pada Mac 2026 telah didorong oleh kenaikan pengangkutan penumpang melalui udara iaitu 25.8 peratus berbanding 11.5 peratus pada Februari 2026.

Beberapa syarikat penerbangan telah mengumumkan pelarasan caj bahan api secara berperingkat berikutan peningkatan harga minyak global.

Pelarasan itu dilaksanakan bagi membantu mengurangkan impak kenaikan kos bahan api global di samping memastikan perkhidmatan, kebolehpercayaan operasi dan jaringan penerbangan terus dapat dikekalkan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/04/1534770/inflasi-mac-naik-17-peratus-tertinggi-dalam-14-bulan