KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menjelaskan bahawa terdapat tanda-tanda peningkatan kadar tambang pengangkutan dan premium insurans susulan gangguan berterusan terhadap laluan maritim di Asia Barat, namun kesannya berbeza mengikut industri.
Presiden MICCI, Christina Tee, berkata kenaikan ini turut menular ke seluruh rantaian nilai, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan dan aliran tunai perniagaan.
“Walaupun sebahagian kos mungkin dapat ditampung oleh syarikat dalam jangka pendek, keadaan ini tidak boleh berterusan, dan sedikit sebanyak pemindahan kos kepada pengguna adalah tidak dapat dielakkan.
“Dalam keadaan yang sentiasa berubah ini, kami menekankan kepentingan komunikasi yang jelas, konsisten dan tepat pada masanya daripada kerajaan kepada pihak berkepentingan industri, bagi membolehkan perancangan dan penyelarasan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
MICCI sedang memantau dengan teliti perkembangan berkaitan kemungkinan gangguan di Bab el-Mandeb, iaitu laluan maritim penting yang menghubungkan Asia dengan Eropah melalui Terusan Suez.
Perkara ini turut berlaku ketika ketidaktentuan berterusan di rantau itu susulan sekatan laut oleh tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan laluan tenaga dan perkapalan utama di peringkat global.
Walaupun perdagangan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) hanya merangkumi kira-kira 7.5 peratus daripada jumlah perdagangan setakat Januari 2026, MICCI menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar berkaitan bahagian perdagangan, tetapi lebih kepada kepentingan laluan perkapalan itu sendiri.
Sebarang gangguan terhadap laluan berkenaan berpotensi memberi kesan yang lebih besar terhadap aliran perkapalan global, termasuk ketersediaan kapal, kos tambang pengangkutan serta kebolehpercayaan rantaian bekalan.
Menurut MICCI, bagi perniagaan yang mempunyai pendedahan langsung kepada pasaran Eropah, khususnya dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan, komoditi serta produk berkaitan petroleum, kesannya dijangka lebih segera.
Katanya, pengalihan laluan kapal melalui laluan yang lebih jauh seperti melalui Tanjung Harapan boleh menyebabkan kelewatan sekitar 10 hingga 14 hari.
“Perkara ini memerlukan syarikat untuk menyesuaikan semula perancangan pengeluaran, pengurusan inventori serta komitmen penghantaran,” katanya.
Dari sudut operasi, MICCI berkata perniagaan di Malaysia sedang mengambil langkah proaktif dengan menyemak semula tahap inventori, membina stok penampan, serta berhubung dengan rakan logistik bagi meneroka pilihan laluan alternatif untuk mengurus kemungkinan kelewatan.
“Walaupun gangguan jangka pendek masih boleh diurus, isu berpanjangan berpotensi memberi tekanan kepada rantaian bekalan, khususnya bagi yang melibatkan masa sensitif terhadap tempoh penghantaran,” katanya.
MICCI turut memaklumkan bahawa perniagaan kini sedang meneroka saluran sumber alternatif bagi bahan mentah serta mempelbagaikan pembekal sekiranya boleh dilaksanakan.
Namun, pelarasan sebegini lazimnya melibatkan pertukaran dan kompromi dari segi kos serta operasi.
Daripada perspektif MICCI, perkembangan di sekitar laluan maritim strategik seperti Bab el-Mandeb memerlukan penyelarasan yang rapat antara kerajaan dan industri.
Penglibatan berterusan antara kerajaan dengan kerajaan juga amat penting bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan barangan melalui laluan kritikal ini.