Belanja besar subsidi boleh jejas sasaran fiskal, Belanjawan 2026 – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Peningkatan mendadak perbelanjaan subsidi akibat kenaikan harga minyak dunia berpotensi menjejaskan sasaran defisit fiskal dan perancangan Belanjawan 2026, demikian menurut penganalisis.

Kegagalan rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pula kini memberi kesan langsung kepada Malaysia, khususnya dalam aspek keselamatan bekalan tenaga, kestabilan fiskal serta tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam jangka terdekat, risiko gangguan di Selat Hormuz menyebabkan harga minyak global kekal tinggi, sekali gus meningkatkan kos import tenaga negara yang masih bergantung kepada bekalan dari Asia Barat.

Keadaan ini turut mencetuskan kebimbangan terhadap kesinambungan bekalan tenaga domestik, terutama apabila terdapat amaran bahawa bekalan sedia ada hanya mencukupi sehingga sekitar Mei 2026 sebelum berdepan cabaran lebih besar selepas Jun sekiranya gangguan berlarutan.

Selain itu, walaupun harga bahan api domestik dikekalkan melalui mekanisme subsidi, kos sebenar kepada ekonomi meningkat dengan ketara apabila kerajaan perlu menyerap jurang harga global yang semakin melebar.

Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata kegagalan rundingan damai AS dan Iran mengekalkan risiko gangguan di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama penghantaran minyak global.

Beliau menjelaskan, dalam keadaan harga minyak sekitar atau melebihi AS$100 setong, tekanan terhadap ekonomi pengimport tenaga termasuk Malaysia akan menjadi lebih ketara.

“Apabila minyak sekitar AS$100, bil subsidi bahan api boleh meningkat kepada sekitar RM4 bilion sebulan,” katanya.

Dari sudut struktur tenaga, walaupun Malaysia merupakan pengeluar hidrokarbon, negara masih tidak terlepas daripada pendedahan kepada kejutan luaran, khususnya dari rantau Asia Barat.

Ini terbukti apabila pada 2025, Malaysia mengimport minyak mentah dan kondensat bernilai RM54.11 bilion, dengan 69 peratus daripadanya datang dari Asia Barat.

Kebergantungan ini menjadikan sebarang gangguan di Selat Hormuz bukan sekadar risiko harga, tetapi turut membabitkan aspek keselamatan bekalan dan kesinambungan logistik.

Samirul berkata, selain harga minyak, risiko logistik turut meningkat apabila kapal tangki mula mengelak laluan berkenan, sekali gus menambah kos insurans, penghantaran dan masa transit.

“Ini bermaksud premium insurans perang, kos perkapalan, masa transit dan kos pembiayaan inventori boleh terus meningkat walaupun aliran fizikal tidak terhenti sepenuhnya,” katanya.

Dalam konteks domestik, kestabilan harga bahan api seperti RON95 yang kekal pada RM1.99 seliter menerusi BUDI95 tidak semestinya mencerminkan kos sebenar yang ditanggung oleh ekonomi.

Sebaliknya, kerajaan perlu menyerap perbezaan kos yang semakin besar apabila harga minyak global meningkat.

Menurut Kementerian Kewangan, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan pada harga minyak AS$90 setong, namun meningkat kepada sekitar RM4 bilion apabila harga mencecah AS$100.

Ini menunjukkan bahawa tekanan fiskal meningkat walaupun kesan kenaikan harga tidak dirasai secara langsung oleh pengguna yang layak.

Dalam masa sama, kesan tidak langsung mula meresap ke dalam ekonomi melalui peningkatan kos pengangkutan, logistik serta input industri.

Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula menegaskan, impak global kini semakin jelas dengan peningkatan harga serta penyusutan aktiviti ekonomi.

“Fenomena stagflasi dijangka akan berlaku dan jika perang ini terus berlarutan, risiko kemelesetan ekonomi global sepenuhnya juga tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Namun begitu, beliau berpandangan bahawa ekonomi Malaysia masih mempunyai keupayaan untuk menampan sebahagian impak negatif tersebut.

“Risiko stagflasi dan kemelesetan ekonomi bagi ekonomi Malaysia pada ketika ini dijangka tidak berlaku,” katanya.

Irwan Shah berkata, kekuatan asas ekonomi, perancangan yang jelas melalui kerangka ekonomi MADANI serta kedudukan Malaysia sebagai pengeksport minyak dan gas asli cecair (LNG) menjadi faktor penampan utama.

Bagaimanapun, kesan seperti peningkatan kos import tenaga dan tekanan terhadap harga domestik tetap memberi implikasi kepada aliran tunai perniagaan serta kos sara hidup rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa isu bekalan tenaga selepas Jun merupakan antara perkara paling kritikal yang perlu diberi perhatian segera.

Dalam masa sama, kedudukan fiskal negara dijangka semakin tertekan akibat peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api.

Menurutnya, subsidi BUDI95 kini mencecah RM6 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum konflik, sekali gus menggambarkan lonjakan beban fiskal yang ketara.

“Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan kedudukan fiskal negara dan juga sasaran bagi Belanjawan 2026 dan juga perancangan bagi Belanjawan 2027,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa kerajaan mungkin perlu menyemak semula Belanjawan 2026 bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa.

Dalam kerangka rasmi, Belanjawan 2026 menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus daripada KDNK dengan hasil kerajaan diunjurkan mencecah RM343.1 bilion.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/04/1533915/belanja-besar-subsidi-boleh-jejas-sasaran-fiskal-belanjawan-2026