Pengguna semakin jimat berbelanja, pilih produk mampu milik

KUALA LUMPUR: Pengguna di Malaysia dilihat semakin berbelanja secara selektif dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, sekali gus dijangka memberi kelebihan kepada peruncit berorientasikan nilai dan barangan keperluan asas.

MBSB Research dalam laporannya hari ini berkata perubahan corak perbelanjaan itu berlaku dalam persekitaran tekanan kos luaran yang berpotensi menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

Menurutnya, faktor seperti kenaikan kos tenaga, logistik dan input makanan susulan perkembangan geopolitik global boleh memberi kesan beransur-ansur kepada harga domestik serta kuasa beli pengguna.

“Dalam keadaan ini, kami melihat peruncit dipacu nilai lebih berdaya tahan, disokong oleh permintaan defensif dan corak perbelanjaan yang semakin selektif,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran terbabit, laporan itu menyatakan perbelanjaan pengguna secara keseluruhan masih kekal kukuh, dengan jualan runcit meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun kepada RM70.07 bilion pada Februari 2026.

Katanya, pertumbuhan itu mencerminkan permintaan domestik yang berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil serta inflasi yang masih terkawal.

“Perdagangan runcit bagi dua bulan pertama 2026 meningkat 6.8 peratus tahun ke tahun kepada RM140.25 bilion, menunjukkan penggunaan domestik terus menyokong pertumbuhan sektor,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, MBSB Research menjangka tekanan kos global boleh memberi kesan kepada momentum perbelanjaan, khususnya bagi kategori bukan keperluan.

Dalam masa sama, permintaan terhadap barangan keperluan asas dijangka kekal lebih stabil, selari dengan keutamaan pengguna terhadap perbelanjaan yang lebih berhemah.

Bahagian penyelidikan itu turut mengekalkan pandangan “positif” terhadap sektor pengguna, disokong oleh penggunaan domestik yang stabil serta sokongan fiskal berterusan.

Namun, ia memberi amaran bahawa risiko penurunan masih wujud sekiranya tekanan kos global berlarutan dan memberi kesan lebih ketara kepada margin syarikat serta kuasa beli isi rumah.

Dalam persekitaran semasa, peruncit yang menawarkan produk pada harga mampu milik dijangka terus menjadi pilihan pengguna, sejajar dengan kecenderungan perbelanjaan yang lebih selektif.

Dalam pada itu, laporan berkenaan turut menyatakan pasaran buruh negara kekal stabil dengan kadar pengangguran sekitar 2.9 peratus, mencerminkan keadaan guna tenaga yang masih kukuh dan terus menyokong aktiviti perbelanjaan isi rumah.

Pada masa sama, tekanan inflasi dilihat masih terkawal dengan kadar inflasi keseluruhan sekitar 1.4 peratus, memberikan sedikit kelegaan kepada pengguna walaupun berdepan ketidaktentuan kos global.

Selain itu, pengukuhan ringgit secara tahunan turut membantu mengurangkan tekanan kos import bagi pengeluar tempatan, sekali gus menyokong kestabilan harga bagi sebahagian barangan pengguna.

Bagaimanapun, MBSB Research menegaskan bahawa perkembangan konflik geopolitik yang berpanjangan berpotensi meningkatkan kos tenaga dan logistik, yang boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan serta harga barangan dalam tempoh akan datang.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/04/1533925/pengguna-semakin-jimat-berbelanja-pilih-produk-mampu-milik