KUALA LUMPUR: Konflik geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin memuncak bukan sahaja menggugat pasaran tenaga global malah turut memberi kesan tidak langsung kepada industri farmaseutikal termasuk di Malaysia.
MBSB Research berkata, walaupun Selat Hormuz bukan laluan utama bagi penghantaran ubat siap, kesan rantaian daripada konflik berkenaan mula dirasai melalui peningkatan kos bahan mentah, tenaga dan komponen pembungkusan.
Menurutnya, situasi itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan unik, relatif stabil dari segi logistik namun terdedah kepada tekanan di peringkat huluan rantaian bekalan.
Katanya, berdasarkan laporan Malaysian Association for Pharmaceutical Suppliers (MAPS), sekitar 30 peratus pembekal farmaseutikal negara adalah dari India selain Korea Selatan dan Jerman.
Kebanyakan penghantaran itu tidak melalui Selat Hormuz, namun kebergantungan India terhadap laluan berkenaan bagi mendapatkan input berasaskan petroleum dan sumber tenaga menjadikan kos pengeluarannya sensitif terhadap sebarang gangguan.
“India merupakan sumber utama ubat generik Malaysia, yang selama ini membantu negara menjimatkan kira-kira RM1 bilion kos perubatan. Namun, sekiranya kos pengeluaran di negara itu meningkat akibat lonjakan harga tenaga, penjimatan berkenaan berisiko terhakis susulan kenaikan harga ubat sehingga 50 peratus.
“Dalam masa sama, konflik itu turut menjejaskan komponen sokongan industri farmaseutikal, khususnya bahan pembungkusan seperti aluminium dan plastik. Sekitar sembilan peratus pengeluaran aluminium global datang dari rantau Asia Barat menjadikan bekalan bahan itu terdedah kepada gangguan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
MBSB Research berkata, kekurangan aluminium boleh menjejaskan pengeluaran pek lepuh (blister pack) yang digunakan secara meluas bagi ubat generik, manakala botol ubat yang diperbuat daripada polipropilena pula bergantung kepada bahan mentah seperti propana dan nafta, produk sampingan industri minyak dan gas.
Selain itu, katanya proses pensterilan pembungkusan yang menggunakan gas petrokimia turut terkesan oleh turun naik pengeluaran minyak mentah.
Ia berkata, gangguan dalam sektor tenaga dijangka meningkatkan kos pengeluaran pembungkusan, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada pengeluar ubat.
“Walaupun bekalan ubat dijangka kekal stabil dalam jangka pendek, tekanan kos yang berterusan boleh menyebabkan harga produk farmaseutikal meningkat terutama bagi ubat generik yang bergantung kepada rantaian bekalan antarabangsa.
“Sehubungan itu, pemain industri dan pihak berkuasa disaran memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta meneroka sumber alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran luar yang terdedah kepada risiko geopolitik,” katanya.