Harga produk petrokimia dijangka kekal tinggi akibat gangguan bekalan

KUALA LUMPUR: Harga produk petrokimia dijangka kekal tinggi berikutan gangguan bekalan yang lebih berpanjangan susulan konflik Asia Barat yang berterusan.

Menurut BIMB Securities Research, semakan saluran oleh pihaknya menunjukkan bahawa kira-kira 25 hingga 30 peratus kapasiti penapisan dan pemecahan petroleum secara rasminya tidak beroperasi.

Ia berkata, keadaan ini menunjukkan pemulihan operasi yang tertangguh dan tidak sekata sebagai kekangan utama.

Katanya, berdasarkan rekod prestasi operasi PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG), permulaan semula loji selepas pemulihan yang dijadualkan, lazimnya memerlukan dua hingga empat minggu untuk mencapai penggunaan yang stabil, dengan andaian ketersediaan bahan mentah yang mencukupi.

“Walau bagaimanapun, andaian ini tidak mungkin berlaku dalam keadaan semasa, memandangkan gangguan yang meluas di seluruh rantaian nilai minyak.

“Kami menjangkakan harga produk akan kekal tinggi, mencerminkan kitaran gangguan yang lebih berpanjangan dan tertanam secara struktur yang berpunca daripada konflik Asia Barat yang berterusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Di samping itu, BIMB Securities Research berkata, kerosakan fizikal pada kemudahan minyak dan gas dijangka mengakibatkan masa henti yang berpanjangan, terutamanya untuk peralatan khusus yang memerlukan fabrikasi dan penggantian.

Ia berkata, perkembangan terkini sekitar Selat Hormuz menunjukkan bahawa gangguan adalah nyata dan tidak sekata di seluruh kompleks tenaga.

Menurutnya, gangguan berkaitan perang telah menghapuskan kira-kira empat hingga lima juta tong sehari bekalan minyak, di samping kira-kira 88 juta tan setahun kapasiti gas asli cecair (LNG).

“Walaupun pasaran minyak masih agak terlindung oleh kapasiti tambahan, pengurangan inventori dan fleksibiliti sistem, segmen gas/LNG (yang penting untuk bahan mentah petrokimia) kekal lebih terhad dari segi struktur.

“Gangguan LNG merentasi nod eksport utama seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengehadkan pilihan penggantian dan memanjangkan tempoh masa pemulihan,” katanya.

Mengulas lanjut, BIMB Securities Research berkata, dengan mengambil iktibar daripada insiden sebelum ini seperti gangguan di Kompleks Petrokimia Pengerang, yang mana kerosakan pada peralatan khusus memerlukan fabrikasi dan penggantian, justeru masa henti operasi dilanjutkan selama kira-kira enam bulan.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun bekalan minyak mentah kembali normal, ketersediaan bahan mentah dan harga untuk petrokimia berkemungkinan kekal tinggi,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/04/1534432/harga-produk-petrokimia-dijangka-kekal-tinggi-akibat-gangguan