KUALA LUMPUR: Disiplin kewangan dalam kalangan isi rumah adalah sama pentingnya dengan daya tahan ekonomi negara, khususnya dalam situasi ketidakpastian global yang boleh menjejaskan harga, pendapatan dan kestabilan kewangan secara keseluruhan.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Chong Siew Huay, berkata isi rumah perlu terus berdisiplin dalam pengurusan kewangan memandangkan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi boleh memberi kesan tidak langsung kepada Malaysia melalui turun naik harga komoditi serta peningkatan kos sara hidup.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, mengamalkan perbelanjaan berhemat dan membina simpanan merupakan strategi penting untuk isi rumah.
“Simpanan boleh berfungsi sebagai penampan kewangan untuk membantu keluarga menghadapi kejutan yang tidak dijangka seperti kenaikan harga atau gangguan pendapatan,” katanya kepada Bernama.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengamalkan perbelanjaan berhemat, meningkatkan simpanan serta mengelakkan perbelanjaan yang membazir dalam suasana ketidakpastian ekonomi global.
Anwar berkata ketegangan geopolitik, khususnya konflik di Timur Tengah, boleh mengganggu rantaian bekalan global dan mendorong kenaikan harga, sekali gus berpotensi menjejaskan kos sara hidup rakyat.
Mengulas lanjut, Siew Huay berkata pengukuhan simpanan isi rumah dapat membantu memastikan keluarga kekal berdaya tahan dari segi kewangan dalam tempoh ekonomi yang tidak menentu.
“Dengan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir, peningkatan perbelanjaan isi rumah adalah sesuatu yang lumrah apabila keluarga membuat persiapan untuk sambutan itu, namun pengguna perlu sentiasa peka terhadap kemampuan kewangan mereka.
“Berbelanja untuk menyambut perayaan boleh diterima selagi dilakukan secara bertanggungjawab dan mengikut kemampuan. Isi rumah perlu mengutamakan pembelian penting, merancang perbelanjaan lebih awal dan mengelakkan pinjaman berlebihan atau pembelian yang tidak perlu,” katanya.
Beliau berkata membeli barang keperluan lebih awal bagi mengelakkan potensi kenaikan harga menjelang musim perayaan boleh dianggap sebagai tingkah laku pengguna yang rasional, dengan syarat ia dilakukan secara sederhana.
“Membeli lebih awal boleh membantu pengguna mendapatkan harga yang lebih baik dan menguruskan belanjawan isi rumah dengan lebih berkesan.
“Bagaimanapun, pembelian berlebihan disebabkan panik atau spekulasi perlu dielakkan, terutama bagi barangan yang mudah rosak seperti makanan,” katanya.
Siew Huay turut menasihati rakyat Malaysia supaya mengekalkan tahap simpanan yang munasabah, menguruskan hutang secara berhati-hati dan mengamalkan perancangan kewangan yang bertanggungjawab dalam menghadapi ketidakpastian global, termasuk konflik di Timur Tengah.
“Ketidakstabilan geopolitik sering membawa kepada turun naik harga dalam pasaran komoditi yang akhirnya diterjemahkan kepada kenaikan harga barangan harian.
“Memiliki simpanan yang mencukupi serta mengamalkan perancangan kewangan yang teliti boleh membantu isi rumah kekal berdaya tahan dalam tempoh sedemikian,” katanya.
Sementara itu, seorang penjawat awam menyambut baik nasihat Perdana Menteri dengan menyatakan amalan perbelanjaan berhemat dan peningkatan simpanan menjadi semakin penting ketika kos sara hidup meningkat.
Danni Haizal Danial Donald, 25, yang telah berkhidmat dalam sektor awam Persekutuan selama tiga tahun, berkata peringatan Perdana Menteri memberi kesan kepadanya kerana pengurusan kewangan yang berhati-hati amat penting terutama bagi mereka yang berada pada peringkat awal kerjaya.
“Dengan Hari Raya yang semakin hampir, saya biasanya memperuntukkan kira-kira RM1,000 untuk barangan perayaan seperti pakaian Hari Raya dan kuih raya untuk keluarga.
“Saya memperuntukkan perbelanjaan itu dan berusaha mematuhinya, walaupun ahli keluarga yang lain turut menyumbang dalam menyambut perayaan,” katanya.
Beliau berkata individu yang berada pada peringkat awal kerjaya perlu merancang kewangan secara teliti bagi menangani tekanan kos sara hidup semasa.
Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/03/1519288/disiplin-kewangan-isi-rumah-penting-hadapi-ketidakpastian-ekonomi