Lonjakan drastik harga minyak berpotensi lebarkan defisit fiskal – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga minyak global susulan ketegangan geopolitik dan potensi gangguan terhadap laluan perdagangan utama dunia seperti Selat Hormuz menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan fiskal Malaysia.

Dalam keadaan negara masih menanggung beban subsidi bahan api yang besar, peningkatan harga minyak berisiko menambah perbelanjaan kerajaan serta berpotensi melebarkan defisit fiskal.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kerajaan disaran memperkukuh langkah fiskal selain menyediakan pelan jangka pendek dan sederhana bagi menangani kesan ekonomi daripada konflik geopolitik yang kini mula dirasai rakyat, khususnya melalui peningkatan harga minyak mentah dunia.

Beliau berkata, kenaikan mendadak harga minyak mentah berpotensi mencetuskan kesan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan MADANI mempercepatkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bernilai RM1.3 bilion yang akan disalurkan secara berperingkat kepada lebih lima juta penerima mulai 10 Mac 2026 adalah langkah pantas dalam membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi semasa.

“Kerajaan sudah perlu melaksanakan dasar fiskal kerana kesan daripada peperangan ini sudah mulai terasa, khususnya melalui peningkatan harga minyak mentah dunia yang akhirnya memberi kesan inflasi gandaan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, sekiranya konflik berpanjangan, kerajaan perlu bersedia dengan pelan bantuan fiskal tambahan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Namun pada masa sama, beliau menjangkakan tekanan kewangan kepada kerajaan juga akan meningkat, termasuk kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan negara.

“Pertambahan defisit perbelanjaan kerajaan pasti akan berlaku dan mungkin sasaran defisit fiskal 3.5 peratus seperti dalam Belanjawan 2026 boleh ditangguhkan dahulu demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, kadar inflasi juga dijangka meningkat dengan lebih ketara, terutama bagi barangan makanan yang diimport, sekali gus memberi kesan berantai kepada peniaga makanan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan.

Beliau berkata, apabila kos makanan import meningkat, ia memberi kesan langsung kepada peniaga makanan dan PMKS kerana mereka terpaksa menanggung kos bahan mentah yang lebih tinggi.

Katanya, dasar monetari negara juga perlu dikekalkan stabil dengan kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus bagi mengelakkan tekanan tambahan kepada sektor ekonomi.

“OPR pada 2.75 peratus boleh dianggap sebagai subsidi tersembunyi dari sudut kewangan kepada semua pihak yang meminjam, termasuk isi rumah dan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata usaha kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 selagi kemampuan kewangan negara mengizinkan adalah langkah penting dalam mengekang tekanan kos kepada rakyat.

Namun, katanya, kenaikan harga diesel memberi kesan lebih besar kepada ekonomi kerana tidak semua sektor pengangkutan barangan menikmati subsidi di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Ini lebih kritikal kerana apabila harga diesel meningkat, kos pengangkutan dan logistik turut meningkat dan akhirnya memberi kesan kepada harga barangan di pasaran,” katanya.

Sementara itu, penganalisis di OCBC Group Research turut memberi amaran bahawa peningkatan mendadak harga minyak dunia susulan ketegangan geopolitik memberi tekanan baharu kepada struktur kewangan negara, khususnya bagi ekonomi yang masih menanggung subsidi bahan api seperti Malaysia.

Menurut laporan penyelidikan bank berkenaan, risiko pasaran utama ketika ini tertumpu kepada kemungkinan penutupan efektif Selat Hormuz, yang merupakan laluan paling kritikal bagi perdagangan minyak global.

Di bawah senario krisis yang lebih akut dan berpanjangan, harga minyak mentah Brent dijangka berpotensi melonjak sehingga sekitar AS$140 setong dan kekal pada paras tinggi sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun ini.

OCBC berkata, rantau Asia kekal terdedah kepada kejutan bekalan minyak global kerana kebanyakan negara di rantau ini masih berstatus pengimport bersih minyak, sekali gus menjadikan ekonomi mereka sensitif terhadap turun naik harga tenaga.

“Bagi ekonomi yang mempunyai subsidi bahan api seperti Indonesia dan Malaysia, kesan terhadap kedudukan fiskal adalah lebih ketara kerana kerajaan perlu menanggung kos subsidi yang lebih tinggi apabila harga minyak global meningkat.

“Setiap kenaikan AS$10 setong dalam harga minyak global boleh meningkatkan perbelanjaan kerajaan Malaysia kira-kira 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sedangkan tambahan hasil yang dijana dianggarkan hanya sekitar 0.1 peratus daripada KDNK, sekali gus menyebabkan defisit fiskal negara berpotensi melebar antara 0.1 hingga 0.2 peratus daripada KDNK bergantung kepada pergerakan harga minyak,” katanya.

Selain tekanan terhadap fiskal negara, OCBC berkata sektor penerbangan juga antara industri yang menerima kesan paling langsung daripada ketegangan geopolitik tersebut.

Ini berikutan penutupan ruang udara di beberapa kawasan konflik, pembatalan penerbangan serta peningkatan mendadak kos bahan api penerbangan yang memberi tekanan kepada operasi syarikat penerbangan global.

Namun begitu, laporan itu menyatakan gangguan berpanjangan terhadap laluan kargo laut di kawasan sensitif seperti Selat Hormuz berpotensi mendorong sebahagian syarikat logistik beralih kepada pengangkutan udara bagi memastikan rantaian bekalan antarabangsa terus berjalan.

Menurut OCBC, keadaan pasaran global yang semakin kompleks ini memerlukan pemantauan rapi oleh kerajaan dan pemain industri bagi memastikan keseimbangan antara kestabilan kewangan negara, kebajikan rakyat serta kesinambungan pertumbuhan ekonomi serantau dapat dikekalkan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/03/1519292/lonjakan-drastik-harga-minyak-berpotensi-lebarkan-defisit-fiskal