Konflik AS-Iran: Harga minyak dunia melonjak ke paras tertinggi sejak Julai 2022

TOKYO: Harga minyak melonjak kira-kira 20 peratus hari ini, paras tertinggi sejak Julai 2022 susulan perang yang semakin meluas antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran, menyebabkan beberapa pengeluar minyak utama di Asia Barat mengurangkan bekalan serta mencetuskan kebimbangan gangguan berpanjangan terhadap laluan perkapalan melalui Selat Hormuz.

Iraq dan Kuwait telah mula mengurangkan pengeluaran minyak, sekali gus menambah kepada pengurangan bekalan gas asli cecair (LNG) oleh Qatar sebelum ini, apabila perang itu menghalang penghantaran tenaga dari rantau Asia Barat.

Penganalisis meramalkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi juga mungkin terpaksa mengurangkan pengeluaran tidak lama lagi apabila kapasiti penyimpanan minyak mereka hampir penuh.

Konflik itu berpotensi menyebabkan pengguna dan perniagaan di seluruh dunia berdepan harga bahan api yang lebih tinggi selama beberapa minggu atau bulan, walaupun perang yang baru berlarutan seminggu itu berakhir dengan cepat.

Ini kerana, pembekal perlu menangani kemudahan yang rosak, gangguan logistik serta risiko tinggi terhadap penghantaran minyak.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat sebanyak AS$18.35 atau 19.8 peratus kepada AS$111.04 setong, dan berada pada paras AS$107.93 setong atau naik AS$15.24 (16.4 peratus) setakat jam 0014 GMT hari ini.

Sementara itu, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$16.50 atau 18.2 peratus kepada AS$107.40 setong, selepas sebelum itu melonjak sebanyak AS$20.34 atau 22.4 peratus kepada AS$111.24 setong pada awal sesi dagangan.

Pada minggu lalu, Brent meningkat 27 peratus manakala WTI naik 35.6 peratus, sebelum lonjakan terbaharu ini.

Pakar strategi komoditi kanan ANZ, Daniel Hynes, berkata kenaikan harga pada pagi semalam didorong laporan bahawa pengeluar di Asia Barat kini mula mengurangkan pengeluaran kerana kemudahan penyimpanan minyak mereka semakin penuh.

“Perkara seterusnya yang perlu diperhatikan ialah sama ada mereka terpaksa menutup telaga minyak. Jika itu berlaku, pengeluaran akan berkurang dengan lebih ketara dan proses pemulihan bekalan selepas konflik reda juga akan mengambil masa lebih lama,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu berpotensi mengekalkan harga minyak pada paras tinggi untuk tempoh yang lebih lama.

Menurut tiga sumber industri, pengeluaran minyak Iraq dari medan minyak utama di selatan negara itu merosot 70 peratus kepada hanya 1.3 juta tong sehari, kerana negara tersebut tidak dapat mengeksport minyak melalui Selat Hormuz akibat perang dengan Iran.

Seorang pegawai Basra Oil Company yang dikendalikan kerajaan berkata, kemudahan penyimpanan minyak kini telah mencapai kapasiti maksimum.

Sementara itu, Kuwait Petroleum Corporation mula mengurangkan pengeluaran minyak pada Sabtu dan mengisytiharkan ‘force majeure’ ke atas penghantaran minyak, walaupun tidak menyatakan jumlah pengeluaran yang akan dihentikan.

Serangan Iran terhadap infrastruktur minyak di rantau itu juga dilaporkan berterusan. Pejabat Media Fujairah berkata kebakaran berlaku di zon industri minyak Fujairah di UAE akibat serpihan yang jatuh, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Kementerian Pertahanan Arab Saudi pula memaklumkan pihaknya berjaya memintas sebuah dron yang menuju ke medan minyak Shaybah.

Iran menamakan Mojtaba Khamenei sebagai pengganti bapanya, Ali Khamenei sebagai Pemimpin Tertinggi Iran, sekali gus memberi isyarat bahawa golongan konservatif tegar masih memegang kuasa kukuh di Tehran ketika konflik dengan AS dan Israel memasuki minggu kedua.

-Reuters

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/03/1518829/konflik-iran-harga-minyak-dunia-melonjak-ke-paras-tertinggi-sejak