Perang AS-Iran gugat pemulihan sektor pembuatan global – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Pemansuhan semula tarif yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa Amerika Syarikat (IEEPA) pada akhir Februari lalu meningkatkan sentimen sektor pembuatan global.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), aktiviti pembuatan global mengukuh pada Februari apabila indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan global meningkat kepada 51.9, berbanding 50.9 pada Januari.

Peningkatan itu mencerminkan pertumbuhan meluas dalam pengeluaran, pesanan baharu, pesanan eksport baharu serta jangkaan pengeluaran masa depan, sekali gus memberi gambaran prospek yang lebih positif bagi sektor berkenaan.

HLIB berkata, pemansuhan tarif berkenaan turut mengukuhkan keyakinan dalam kalangan pengilang dan pengeksport susulan pelonggaran sekatan perdagangan.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata peningkatan konflik ketenteraan di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran baru-baru ini mencetuskan risiko penurunan kepada pertumbuhan, yang berpotensi menjejaskan perdagangan global dan aktiviti ekonomi sekiranya konflik berlarutan.

“Namun begitu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal berada pada landasan pengembangan, disokong oleh struktur ekonomi yang pelbagai, status negara sebagai pengeksport tenaga bersih serta kitaran peningkatan teknologi global yang berterusan.

“Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2026 pada 4.7 peratus,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada Januari, meningkat daripada 4.8 peratus pada Disember serta melebihi anggaran median konsensus 5.0 peratus.

Pengembangan itu didorong oleh pertumbuhan lebih pantas dalam sektor pembuatan yang meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun berbanding 6.7 peratus sebelum ini, di samping pertumbuhan pengeluaran elektrik yang lebih kukuh iaitu 6.3 peratus berbanding 3.8 peratus pada Disember.

Pengeluaran sektor perlombongan juga pulih sedikit dengan peningkatan 0.1 peratus, selepas menguncup 2.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Secara bulanan selepas pelarasan bermusim, IPI kekal stabil pada 0.9 peratus, disokong oleh peningkatan penjanaan elektrik serta penguncupan yang lebih kecil dalam pengeluaran perlombongan, sekali gus mengimbangi pertumbuhan pengeluaran pembuatan yang lebih sederhana.

Pertumbuhan sektor pembuatan disokong oleh kekuatan meluas dalam segmen berorientasikan eksport dan domestik yang masing-masing berkembang 6.9 peratus dan 8.1 peratus tahun ke tahun.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/03/1519877/perang-iran-gugat-pemulihan-sektor-pembuatan-global-penganalisis