KUALA LUMPUR: Prospek ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2026 dijangka kekal berdaya tahan berdasarkan prestasi Indeks Pelopor (IP) terkini, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP, alat statistik yang digunakan untuk meramal arah tuju ekonomi jangka terdekat dari segi perubahan dalam kitaran perniagaan bagi Disember 2025 mencatatkan peningkatan marginal 0.1 peratus kepada 114.0 mata berbanding 113.9 mata dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi IP diperkukuh oleh peningkatan dalam penawaran wang benar M1 (jumlah wang tunai dalam edaran dan deposit semasa dalam sistem perbankan) sebanyak 7.3 peratus dan import benar semikonduktor sebanyak 4.8 peratus.
“Peningkatan ini mencerminkan kecairan kewangan domestik yang stabil serta permintaan berterusan terhadap komponen elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari perspektif bulanan, IP turut mencatatkan peningkatan 0.5 peratus disokong oleh pertumbuhan dalam penawaran wang benar M1 sebanyak 0.5 peratus serta jangkaan nilai jualan dalam pembuatan sebanyak 0.4 peratus.
Meneliti trend arah aliran jangka panjang terlicin pada Disember 2025, IP kekal berada di bawah paras 100.0 mata.
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan disokong oleh ekonomi baharu yang progresif serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Inisiatif itu dijangka merangsang perniagaan tempatan, sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi lain secara tidak langsung,” katanya.
Dalam pada itu, Indeks Serentak (IS), iaitu penunjuk ekonomi komprehensif yang mengukur prestasi dan keadaan ekonomi semasa mengekalkan momentum positif dengan mencatatkan pertumbuhan tahunan 2.1 peratus kepada 129.3 mata berbanding 126.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Prestasi IS dipacu oleh peningkatan konsisten merentasi semua komponen.
Nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 9.6 peratus dan menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan tersebut.
Bagaimanapun, dari segi bulanan, IS mencatatkan marginal negatif 0.02 peratus dengan penyusutan itu disebabkan oleh kapasiti penggunaan dalam pembuatan dan indeks kuantiti perdagangan runcit yang masing-masing mencatatkan negatif 0.1 peratus.
Secara keseluruhan, perkembangan IP dan IS bagi Disember 2025 mencerminkan prestasi semasa serta petunjuk awal terhadap hala tuju ekonomi negara dalam tempoh terdekat.