S P Setia, RHB Bank sedia pembiayaan fleksibel bantu pemilik rumah baharu

KUALA LUMPUR: S P Setia Bhd menjalin kerjasama strategik dengan RHB Bank Bhd bagi menawarkan pilihan pembiayaan yang disesuaikan untuk memudahkan proses pemilikan dan kemasukan ke kediaman baharu.

Inisiatif bersempena sambutan Tahun Kuda itu dilaksanakan menerusi kempen ‘Sign & Prosper’ yang berlangsung dari 1 Februari hingga 15 Mac 2026, dengan ganjaran rebat RM3,888 untuk pembelian baharu.

Pada masa sama, pemilik sedia ada S P Setia berpeluang menerima ganjaran RM2,888 menerusi inisiatif ‘Refer & Reward’ sekiranya berjaya memperkenalkan pembeli baharu.

Ketua Pegawai Operasi S P Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus, berkata kempen berkenaan meraikan permulaan baharu di samping merancakkan jualan dalam kalangan pembeli baharu serta pemilik sedia ada.

“Melalui kempen ‘Sign & Prosper’, kami bukan sahaja menggalakkan pemilikan rumah, malah memastikan pembeli menikmati perancangan kewangan lebih lancar dengan sokongan rakan perbankan strategik.

“Kerjasama dengan RHB Bank membolehkan pemilik rumah menikmati fleksibiliti kewangan untuk memperibadikan kediaman Setia mereka seawal hari pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi pakej ‘Home & Renovation Loan’ yang ditawarkan RHB Bank, pembeli yang layak boleh menikmati pembiayaan sehingga 120 peratus bagi hartanah bernilai RM500,000 dan ke atas.

Selain itu, Yuslina berkata, kemudahan berkenaan turut merangkumi pembiayaan untuk gadai janji pertama dan kedua, sekali gus memberi nilai tambah kepada pemilik rumah yang ingin menaik taraf atau menyesuaikan kediaman mengikut keperluan masing-masing.

Kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong pemilikan rumah serta memperkukuh keyakinan pembeli dalam persekitaran pasaran hartanah yang kompetitif.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2026/02/1513519/s-p-setia-rhb-bank-sedia-pembiayaan-fleksibel-bantu-pemilik-rumah