Maybank, TNB Electron lancar program rintis pengecasan kereta elektrik

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), menerusi cabang pengecasan kenderaan elektrik, TNB Electron, melancarkan program rintis pengecasan kenderaan elektrik (EV) strategik di Maybank Academy, Bangi, menjadikannya kerjasama pertama antara institusi kewangan dan penyedia tenaga dalam menyokong agenda kelestarian Malaysia.

Inisiatif itu merupakan peluasan kerjasama dalam bidang kewangan mampan dan peralihan tenaga, termasuk sokongan Maybank terhadap Rangka Kerja Pembiayaan Peralihan TNB, yang diterjemahkan kepada pelaksanaan strategik di lapangan bagi menyokong pembangunan ekonomi rendah karbon.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, berkata inisiatif itu selari dengan tonggak ROAR30 New Economy Maybank yang memberi tumpuan kepada penyelesaian bandar pintar dan mobiliti mampan.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan pengecasan EV yang lebih mudah dan mudah diakses akan membantu pelanggan beralih kepada mobiliti lebih bersih, sekali gus mengurangkan halangan utama kepada penggunaan EV secara meluas di Malaysia.

“Pasaran EV Malaysia masih di peringkat awal tetapi menunjukkan potensi pertumbuhan yang sangat memberangsangkan. Pada 2025, Maybank telah menyalurkan lebih RM1 bilion pembiayaan bagi kenderaan EV dan hibrid yang layak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perkembangan industri EV negara menunjukkan momentum kukuh dengan pendaftaran meningkat 106 peratus tahun ke tahun, dipacu permintaan di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Setakat ini, terdapat lebih 5,700 titik pengecasan awam di seluruh negara bagi menyokong penggunaan harian dan perjalanan jarak jauh, termasuk perjalanan pulang ke kampung sempena musim perayaan dan cuti sekolah.

Dalam pada itu, TNB Electron turut menawarkan diskaun 25 peratus bagi setiap kilowatt jam (kWh) semasa musim cuti sekolah dan tempoh puncak perayaan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik. Insentif itu bertujuan mengurangkan kos pengecasan pengguna serta menyokong peningkatan penggunaan EV di negara ini.

Selain itu, rangkaian pengecasan TNB ditempatkan secara strategik di lebuh raya, jalan utama, kawasan komersial dan premis TNB di seluruh negara bagi memudahkan perjalanan jarak jauh dan meningkatkan keyakinan pengguna untuk memandu merentasi Semenanjung Malaysia dengan kenderaan elektrik.

Di bawah kerjasama itu, TNB Electron akan bertanggungjawab terhadap pemasangan, operasi dan penyelenggaraan kemudahan pengecasan, memanfaatkan kepakaran infrastruktur tenaga TNB serta rangkaian Maybank bagi menyokong mobiliti rendah karbon melalui model yang boleh diskalakan dan dipercayai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata kerjasama itu memperkukuh peranan TNB Electron sebagai pemboleh utama dalam pembangunan ekosistem EV negara.

Beliau berkata, lebih 260 titik pengecasan EV telah dipasang TNB di seluruh negara, dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kesediaan grid, kebolehpercayaan sistem serta menyokong kelestarian tenaga jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan organisasi progresif.

Berdasarkan dapatan daripada program rintis ini, Maybank dan TNB Electron akan terus meneroka peluang pemasangan kemudahan pengecasan EV di cawangan terpilih Maybank di seluruh Semenanjung Malaysia, khususnya di lokasi strategik bagi meningkatkan kebolehcapaian pengguna dan menyokong pertumbuhan ekosistem EV negara.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2026/02/1513190/maybank-tnb-electron-lancar-program-rintis-pengecasan-kereta-elektrik