KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil dalam julat RM4,000 hingga RM4,300 satu tan pada Mac, disokong oleh permintaan yang kukuh dari India dan kekuatan harga minyak soya di pasaran global.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia menurun secara bermusim kepada 1.58 juta tan pada Januari, turun 13.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun, eksport meningkat kepada 1.48 juta tan, naik 11.4 peratus daripada Disember, mencatatkan jumlah eksport bulanan kedua tertinggi dalam 12 bulan terakhir.
“Kenaikan eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi dari India dan Mesir, dengan eksport ke India mencapai tahap tertinggi dalam 15 bulan manakala eksport ke Mesir meningkat ke paras tertinggi 13 bulan,” katanya.
MPOC menjangkakan asas pasaran minyak sawit akan bertambah baik secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang, berikutan eksport Maaysia yang lebih kukuh pada suku pertama tahun ini serta penghantaran awal Indonesia sebelum pelaksanaan cukai eksport pada bulan Mac, yang dijangka mengurangkan inventori minyak sawit di kedua-dua negara.
Di peringkat global, harga minyak sayuran kekal stabil pada Februari, disokong oleh keyakinan terhadap dasar biofuel Amerika Syarikat (AS) yang memihak kepada minyak soya domestik serta kenaikan harga minyak mentah Brent berikutan ketegangan geopolitik antara AS dan Iran.
Harga minyak mentah Brent meningkat 17 peratus setakat Februari, manakala harga empat minyak sayuran utama meningkat antara satu peratus hingga tujuh peratus sepanjang tempoh sama.
“Keyakinan terhadap dasar biofuel AS terus mengukuhkan harga minyak sawit, khususnya dengan harga minyak soya AS yang meningkat 17 peratus pada Februari dan diniagakan pada premium AS$172 berbanding minyak soya dari Argentina,” kata MPOC.
MPOC menambah, walaupun faktor-faktor ini menyokong harga minyak sawit, kenaikan pengeluaran minyak soya terutamanya di China, mungkin mengehadkan potensi kenaikan harga minyak sawit.
China menjadi pengeksport bersih minyak soya pada 2025 dan dijangka mengekalkan posisi ini pada 2026 dengan eksport dianggarkan sekitar 850,000 tan, di mana hampir separuh daripadanya ke India.
Dengan penawaran global yang mencukupi, permintaan India yang meningkat dan harga minyak soya AS yang kukuh, harga minyak sawit dijangka terus disokong tetapi dalam julat stabil RM4,000 hingga RM4,300 bagi bulan Mac.
MPOC turut menegaskan komitmennya untuk memacu pertumbuhan mampan serta kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam minyak sawit lestari, yang menyumbang RM112.5 bilion kepada hasil eksport negara pada 2025.