KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif negara dijangka terus berada pada paras 800,000 unit tahun ini, disokong hala tuju dasar yang lebih jelas susulan pelaksanaan program subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Penganalisis CIMB Securities, Mohd Shanaz Noor Azam, berkata firma pembrokeran pasaran itu mengekalkan unjuran TIV bagi 2026 pada 800,000 unit, iaitu penurunan sederhana 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya (820,752 unit) turut disokong pengesahan bahawa semakan nilai pasaran terbuka (OMV) tidak akan mencetuskan kenaikan harga kenderaan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, unjuran yang lebih tinggi sedikit daripada sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 790,000 unit itu juga mengambil kira faktor penstabilan permintaan selepas pembelian awal kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) serta tekanan inflasi dan kos sara hidup yang masih berlarutan.
“TIV bagi 2026 dijangka mencecah 800,000 unit, turun 2.5 peratus tahun ke tahun, namun kekal sedikit lebih tinggi berbanding unjuran MAA sebanyak 790,000 unit.
“Unjuran ini bersandarkan hala tuju dasar yang lebih jelas susulan pelaksanaan program BUDI95 serta pengesahan bahawa semakan OMV tidak akan menyebabkan kenaikan harga kenderaan dalam masa terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Industri automotif tempatan memulakan 2026 dengan langkah kanan apabila TIV meningkat 28.7 peratus tahun ke tahun kepada 64,298 unit pada Januari berbanding 49,965 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, secara bulanan, TIV pada bulan lalu susut 29.1 peratus berbanding 90,716 unit yang direkodkan pada Disember 2025, susulan asas perbandingan yang tinggi ketika penghantaran hujung tahun serta tamatnya pengecualian cukai kenderaan elektrik import sepenuhnya.
Jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) turut meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun kepada 60,866 unit pada Januari 2026.
Segmen kenderaan penumpang mencatatkan 60,369 unit pada Januari 2026, meningkat 29.8 peratus berbanding 46,527 unit setahun lalu, manakala kenderaan komersial bertambah 14.3 peratus kepada 3,929 unit berbanding 3,438 unit sebelumnya.
Dari segi pegangan pasaran, jenama nasional terus mengukuhkan kedudukan apabila menguasai 71.4 peratus pasaran pada Januari 2026, meningkat 5.4 mata peratusan berbanding tempoh sama tahun lalu.
PROTON mencatat lonjakan ketara dengan jualan sebanyak 19,750 unit pada Januari 2026 berbanding 9,688 unit setahun lalu, sekali gus melonjak 103.9 peratus tahun ke tahun.
Pegangan pasaran PROTON turut meningkat 11.3 mata peratusan kepada 30.7 peratus, sekali gus mengecilkan jurang dengan PERODUA yang menguasai 40.6 peratus pasaran.
PERODUA pula merekodkan pertumbuhan jualan 12.4 peratus kepada 26,128 unit berbanding 23,245 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Secara keseluruhan, jumlah jualan jenama nasional mencecah 45,878 unit pada Januari 2026 berbanding 32,933 unit sebelumnya, meningkat 39.3 peratus tahun ke tahun.
Bagi jenama bukan nasional, jumlah jualan meningkat 8.1 peratus kepada 18,420 unit berbanding 17,032 unit setahun lalu.
Mengikut pecahan segmen, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pacuan empat roda mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 41.2 peratus kepada 18,471 unit berbanding 13,083 unit sebelumnya, manakala kereta penumpang meningkat 30.8 peratus kepada 37,006 unit.
Dalam segmen komersial, trak melonjak 92.2 peratus kepada 1,184 unit berbanding 616 unit, manakala ‘prime mover’ meningkat 106.3 peratus kepada 132 unit berbanding 64 unit pada Januari 2025.
Mengulas prospek permintaan, Mohd Shanaz berkata, pihaknya menjangkakan jualan Februari 2026 lebih sederhana berikutan bulan operasi yang lebih singkat iaitu 17 hari bekerja selepas cuti Tahun Baharu Cina.
“Walaupun permintaan dijangka kembali normal selepas pembelian awal kenderaan elektrik import sepenuhnya, kadar penembusan kenderaan elektrik nasional dijangka meningkat pada 2026, disokong pelancaran model baharu serta insentif cukai pemasangan tempatan (CKD) yang berterusan,” katanya.