KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka melepasi paras sokongan segera RM3.87, dengan paras sokongan seterusnya pada RM3.65 didorong oleh momentum positif yang berterusan dalam ketidaktentuan baharu berkaitan dasar tarif Washington, kata ahli ekonomi.
Ringgit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun iaitu 3.8835/9065 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan hari ini, meningkat daripada 3.8995/9055 pada penutupan Jumaat lalu.
Kali terakhir mata wang tempatan mencapai paras ini adalah pada 2 Februari 2018, iaitu 3.8830/8870.
“Dalam persekitaran ketidakpastian, ringgit dijangka kekal berdaya tahan,” kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.
Beliau berkata, tarif import AS kembali menjadi perhatian peniaga susulan Mahkamah Agung memutuskan bahawa Presiden AS Donald Trump tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengenakan tarif global yang meluas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA).
Trump tetap berkeras untuk mengenakan tarif menggunakan undang-undang yang berbeza, sementara beberapa rakan dagang telah menunjukkan bahawa mereka akan menghentikan proses ratifikasi perjanjian perdagangan AS itu, katanya.
Pada 20 Februari lalu, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif berasaskan IEEPA dilaksanakan Trump, termasuk tarif timbal balas.
Beliau kemudian mengumumkan rancangan untuk menaikkan tarif global daripada 10 peratus kepada 15 peratus pada Sabtu lalu, susulan keputusan mahkamah membatalkan kebanyakan langkah perdagangannya sebelum ini.
Menyuarakan pandangan sama dengan Mohd Afzanizam, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata kekuatan ringgit itu disokong oleh pelarasan semula kedudukan pelabur serta sentimen risiko global lebih positif susulan tindakan pasaran menyemak semula jangkaan pertumbuhan ekonomi AS.
“Ketegangan geopolitik seperti risiko antara AS dan Iran, turut menyumbang kepada kedudukan yang lebih berwaspada serta peralihan risiko secara berkala yang boleh meredakan permintaan terhadap dolar sebagai aset selamat dan membantu menyokong beberapa mata wang pasaran pesat membangun termasuk ringgit,” katanya.
-BERNAMA