KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap emas sebagai pelaburan selamat semakin meningkat di peringkat global, khususnya dalam kalangan bank pusat dan individu bernilai bersih tinggi (HNWI), menurut Persatuan Emas Malaysia (MGA).
Presidennya, Datuk Wira Louis Ng, berkata bank pusat di beberapa negara termasuk China, Poland dan Kazakhstan kini aktif meningkatkan rizab emas masing-masing sebagai langkah mempelbagaikan pegangan aset negara.
“Walaupun permintaan terhadap emas gred pelaburan semakin melonjak, kita menyaksikan trend menurun dalam segmen barang kemas emas di seluruh Asia, termasuk di pasaran tradisional utama seperti China dan India,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata harga emas antarabangsa kekal stabil sekitar AS$3,300 satu auns, mewakili kenaikan kira-kira 24 peratus sejak awal tahun ini.
Menurutnya, paras harga semasa disokong oleh permintaan kukuh daripada institusi, terutamanya pengurus dana global yang membeli emas menerusi dana dagangan bursa (ETF) bagi pihak pelanggan berprofil tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa lonjakan minat terhadap emas dipacu ketegangan geopolitik berterusan di peringkat global, termasuk konflik di Asia Barat, perang Rusia-Ukraine dan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
“Disebabkan ketidaktentuan ini, emas terus dilihat sebagai penyimpan nilai yang selamat. Bank pusat, pelabur institusi dan juga pelabur runcit bertindak balas terhadap situasi ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, permintaan runcit terhadap barang kemas emas kini berdepan tekanan dan tidak menunjukkan momentum seperti emas pelaburan.
“Pasaran barang kemas runcit kini mengalami trend penurunan dengan permintaan yang lebih perlahan berbanding sebelum ini,” katanya.
Mengulas prospek pasaran, Ng menjangkakan harga emas akan kekal stabil dalam tempoh terdekat.
“Kami menjangka harga emas tidak akan banyak berubah dan terus berlegar sekitar AS$3,300 satu auns, sementara pelabur terus memantau ketegangan geopolitik dan perkembangan ekonomi global,” katanya. – Bernama