KUALA LUMPUR: Semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2025 dijangka mampu menjana kutipan hasil tambahan RM5 bilion kepada negara, kata penganalisis.
Penganalisis CGS International, Jeremy Goh, berkata dianggarkan bahawa langkah SST baru-baru ini berpotensi menambah RM5 bilion kepada kewangan awam.
Beliau berkata, walaupun tanpa jumlah tambahan itu, jumlah SST yang diunjurkan Kementerian Kewangan (MOF) mencecah RM46.7 bilion bagi 2025, lebih tinggi berbanding kutipan di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2017 sebanyak RM44.3 bilion.
“Kami rasa pelancaran skop SST yang lebih luas menunjukkan bahawa reformasi Malaysia terus berjalan bagi mengukuhkan kedudukan defisit fiskal (unjuran 2025: -3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); 2024: -4.1 peratus),” katanya dalam nota penyelidikannya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata perluasan skop SST secara bersasar itu sebenarnya menghampiri skop GST sebelum ini.
Beliau berkata, berdasarkan ekonomi domestik negara yang terus rancak walaupun ekonomi global dicabar hebat, bukan satu masalah untuk mencapai sasaran hasil kerajaan tambahan iaitu RM5 bilion.
Menurutnya, peluasan skop SST itu berisiko untuk menaikkan kadar inflasi semasa iaitu 1.4 peratus, berikutan kenaikan akan dipindahkan oleh pihak pengeluar dalam rantaian nilai bekalan barangan dan perkhidmatan seterusnya kepada pengguna dan perniagaan yang berada di hujung.
Bagaimanapun, jelasnya, kenaikan kadar itu masih terkawal mungkin naik sedikit saja kerana ia banyak membabitkan barangan bernilai tinggi dan mewah dan bukannya barangan keperluan utama terutama makanan dan minuman.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata semakan dan perluasan SST mampu menjana hasil tambahan kepada kerajaan tetapi tertakluk juga kepada prestasi ekonomi tempatan.
Beliau berkata, jika aktiviti ekonomi semakin perlahan, mungkin hasil tambahan yang diharapkan tidak akan tercapai.
Mengenai inflasi, katanya, ada kemungkinan kadar inflasi akan meningkat sedikit tetapi masih lagi rendah, malahan tidak akan mencecah 3.0 peratus.
“Kesan peluasan skop SST ini akan membolehkan negara meningkatkan hasil dan menggunakan hasil itu untuk lebih banyak program untuk rakyat,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, semakan dan peluasan SST secara besasar itu menunjukkan kerajaan tetap komited terhadap dasar konsolidasi fiskal yang mana disiplin kewangan menjadi tunggak kepada dasar fiskal.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan langkah itu, penilaian oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s, S&P dan Fitch akan lebih baik.
Menurutnya, perkara itu sekali gus akan mendatangkan keyakinan dikalangan para pelabur dan juga pengukuhan nilai ringgit pada masa akan datang.
“Suku pertama 2025 kita sudah saksikan penurunan defisit fiskal kepada 4.5 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku pertama 2024.
“Perkara ini disebabkan kutipan SST yang meningkat 30.3 peratus pada suku pertama hasil daripada kenaikan cukai perkhidmatan daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus pada 1 Mac 2024.
“Selain itu, rasionalisasi subsidi diesel pada 10 Jun 2024 telah menyebabkan penurunan dalam subsidi dan bantuan sosial sebanyak 19.4 peratus pada suku pertama 2025.
“Pendekatan yang dijalankan adalah begitu berhati-hati bagi memastikan objektif pengukuhan fiskal tercapai dan pada masa yang sama tidak mendatangkan kejutan negatif kepada ekonomi,” katanya.
Kerajaan MADANI akan melaksanakan semakan kadar dan perluasan skop SST mulai 1 Julai 2025 secara bersasar yang memperlihatkan barangan pilihan tertentu seperti ‘king crab’, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus, sementara beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Mulai 1 Julai 2025, skop cukai perkhidmatan diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.