Peluasan SST: SAMENTA, BRO gesa ambang lebih tinggi lindungi PMKS

KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan untuk segera mempertimbangkan semula ambang kelayakan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) demi mengurangkan impak terhadap keuntungan PMKS dan harga kepada pengguna susulan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2025.

Presidennya, Datuk William Ng, berkata pihaknya menyeru agar semua perusahaan mikro dan kecil seperti yang ditakrifkan oleh SME Corp dikecualikan atau sekurang-kurangnya ambang perolehan tahunan dinaikkan kepada RM2 juta daripada RM500,000 pada masa ini, agar hanya perniagaan sederhana dan besar yang tertakluk kepada skop peluasan itu.

“Kami juga menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk segera mengeluarkan garis panduan khusus mengikut sektor bagi membantu PMKS yang terbabit memahami kewajipan mereka di bawah skop yang diperluaskan, tanpa perlu mendapatkan khidmat ejen cukai.

“Tanpa panduan yang lebih jelas, ramai PMKS berisiko melakukan ketidakpatuhan secara tidak sengaja walaupun tempoh penguatkuasaan ditangguhkan sehingga akhir 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ng berkata, JKDM juga perlu memberikan penjelasan sama ada, dalam tempoh peralihan itu, perniagaan dibenarkan mengenakan SST berdasarkan tarikh invois dan bukan tarikh kutipan bayaran.

Menurutnya, ramai perniagaan sudah mengeluarkan invois dalam bulan terdahulu, dan ketidakpastian itu boleh menimbulkan kekeliruan mengenai liabiliti cukai di bawah rejim SST baharu itu.

Katanya, SAMENTA menyokong pembangunan rangka kerja cukai yang adil, progresif dan telus yang dapat meluaskan sumber percukaian tanpa mengabaikan aset keusahawanan negara.

“Walau bagaimanapun, perkara ini mesti dilaksanakan secara berperingkat, dengan rundingan yang tulen bersama pihak berkepentingan dan sejajar dengan realiti ekonomi semasa.

“Walaupun SAMENTA telah diberikan taklimat mengenai peluasan SST ini, ia tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk rundingan sekiranya ia disampaikan sebagai keputusan yang telah dimuktamadkan.

“Memandangkan ketidaktentuan global dan kelemahan ekonomi domestik – faktor yang tidak begitu ketara semasa Belanjawan 2025 dibentangkan, kami percaya bahawa peningkatan ambang pengecualian bagi PMKS adalah langkah yang wajar dan berhemah dari segi ekonomi,” katanya.

Ng berkata, SAMENTA tetap bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan reformasi fiskal negara berjaya dilaksanakan tanpa menjejaskan daya tahan dan dinamik sektor PMKS negara.

Sementara itu, Bumiputera Retailers Organization (BRO) menyambut baik dan menyokong penuh gesaan yang dibuat oleh SAMENTA itu agar kerajaan menaikkan ambang SST daripada RM500,000 kepada RM2 juta atau sekurang-kurangnya mengecualikan perusahaan mikro dan kecil daripada keperluan pematuhan SST.

Ia berkata, usahawan Bumiputera yang sebahagian besarnya terdiri daripada perniagaan kecil dan sederhana amat terkesan dengan ambang semasa SST, yang dianggap terlalu rendah dalam keadaan ekonomi yang mencabar hari ini.

“Kenyataan SAMENTA sangat bertepatan dan kami di BRO turut menerima banyak maklum balas daripada ahli-ahli kami yang berdepan dengan tekanan pematuhan SST seawal fasa pertumbuhan mereka. Dengan margin yang masih rendah, beban cukai ini boleh mengekang kelangsungan perniagaan yang sedia ada,” katanya.

BRO menekankan bahawa pelarasan ambang SST akan mengurangkan kos pematuhan untuk usahawan mikro dan kecil, yang sering tidak mempunyai sumber dalaman untuk mengurus sistem percukaian, meningkatkan daya tahan perniagaan baharu serta memberi ruang untuk pertumbuhan mampan sebelum memasuki kategori pembayar SST dan memperluas penyertaan Bumiputera dalam ekosistem ekonomi melalui pengurangan halangan awal.

BRO turut menggesa pihak kerajaan, melalui Kementerian Kewangan dan JKDM untuk membuka ruang libat urus bersama pemain industri peruncitan termasuk BRO, bagi menilai semula struktur SST yang lebih adil dan inklusif.

“Kami percaya sudah tiba masanya struktur SST diteliti semula agar tidak menekan usahawan kecil. Keutamaan seharusnya diberi kepada penciptaan nilai dan pekerjaan dalam sektor ini,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2025/06/1406487/peluasan-sst-samenta-bro-gesa-ambang-lebih-tinggi-lindungi-pmks