Malaysia pasaran IPO terbesar Asia Tenggara tahun ini

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai peneraju permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) di Asia Tenggara dengan 66 peratus atau AS$940 juta dikumpul daripada seluruh jumlah yang diperoleh di rantau ini pada separuh pertama 2025, demikian menurut laporan Deloitte Mid-Year IPO Snapshot 2025.

Laporan itu menekankan bahawa pasaran modal IPO Malaysia terus menunjukkan momentum yang mengagumkan sejak tahun lalu, menerajui bursa-bursa Asia Tenggara dalam ketiga-tiga metrik utama iaitu jumlah dana IPO yang dikumpul, permodalan pasaran, dan bilangan IPO.

Dalam satu kenyataan, Deloitte berkata jenama terkenal tempatan, Eco-Shop Marketing Bhd, mengetuai jumlah kutipan IPO di Malaysia dengan AS$230 juta, dan harga sahamnya meningkat enam peratus pada hari pertama disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

“Dengan 32 IPO dalam separuh pertama 2025, Malaysia mempunyai enam daripada 10 penyenaraian terbesar di rantau ini pada 2025. Ia juga mencatat penyenaraian IPO terbesar di Asia Tenggara setakat ini, rangkaian kedai serbaneka harga rendah yang mengumpul AS$230 juta.

“Malaysia merekodkan peningkatan kira-kira 48 peratus dalam bilangan penyenaraian, dengan jumlah dana IPO meningkat kira-kira 109 peratus, serta peningkatan permodalan pasaran IPO sebanyak kira-kira 165 peratus,” katanya.

Menurut laporan Deloitte, pasaran modal Asia Tenggara mencatatkan 53 IPO dalam separuh pertama 2025, mengumpul lebih AS$1.4 bilion hasil dan mencapai permodalan pasaran sebanyak AS$7.7 bilion.

“Ini berbanding 67 IPO dalam separuh pertama 2024, yang mengumpul kurang daripada AS$1.4 bilion dengan permodalan pasaran melebihi AS$5.8 bilion,” katanya.

Rakan kongsi Deloitte Malaysia bagi Sokongan Perakaunan Transaksi, Wong Kar Choon, berkata, prospek IPO di Malaysia kekal meyakinkan bagi baki 2025, dengan 32 penyenaraian direkodkan setakat 30 Jun 2025, meletakkan Bursa Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 60 penyenaraian sepanjang tahun.

“Namun begitu, tarif perdagangan AS yang terkini dan ketegangan geopolitik telah mewujudkan ketidaktentuan, dan kami menjangkakan ia mungkin memberi kesan kepada pasaran IPO.

“Keadaan ini mungkin menyebabkan sentimen pelabur menjadi lebih berhati-hati kerana mereka cenderung memilih aset yang kurang berisiko dalam tempoh ketidaktentuan ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa syarikat-syarikat mungkin menangguhkan rancangan IPO mereka, terutamanya syarikat berorientasikan eksport yang terkesan akibat gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/07/1418699/malaysia-pasaran-ipo-terbesar-asia-tenggara-tahun-ini