Gaji naik, kuasa beli pekerja juga perlu meningkat – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji tidak seharusnya sekadar dilihat sebagai tambahan angka di atas slip gaji semata-mata, sebaliknya perlu selari dengan peningkatan kuasa beli pekerja bagi menjamin kesejahteraan hidup yang lebih mampan.

Penganalisis berpandangan, pelarasan gaji yang adil dan progresif adalah kunci penting bagi memastikan Malaysia berjaya keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, seterusnya mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata struktur gaji di Malaysia masih rendah meskipun tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran dan tahap kecekapan tinggi berbanding beberapa negara serantau.

“Keadaan ini perlu diubah selaras dengan wawasan untuk meningkatkan pendapatan per kapita. Namun, lebih penting, ia perlu diterjemahkan kepada peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, pelarasan gaji yang diumumkan kerajaan pada penghujung 2024 merupakan langkah awal yang baik dan kini mula diikuti oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Katanya, langkah itu sejajar dengan pelaksanaan dasar gaji minimum dan gaji progresif yang digerakkan kerajaan, dan seharusnya dicontohi oleh lebih banyak entiti korporat termasuk syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia.

“Syarikat seperti Sime Darby Property misalnya, menunjukkan contoh yang positif. Pada masa sama, pekerja GLC terbukti memiliki kadar produktiviti melebihi purata industri, jadi pelarasan gaji adalah wajar bagi meningkatkan motivasi serta kesetiaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata isu gaji merupakan perkara sejagat yang perlu ditangani secara menyeluruh dan bersepadu.

Beliau berkata, sektor perniagaan juga berdepan tekanan kenaikan kos bahan mentah, logistik, utiliti serta buruh yang menjejaskan margin keuntungan.

“Dalam masa yang sama, peningkatan kos sara hidup menjejaskan pendapatan benar rakyat, iaitu pendapatan yang telah ditolak kadar inflasi, sekali gus menyusutkan kuasa beli,” katanya.

Justeru itu, katanya, langkah paling asas ialah memperkasa sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan serba boleh dan berketrampilan untuk mengisi keperluan pasaran kerja masa kini.

“Malaysia juga perlu menggalakkan pasaran ekonomi yang lebih kompetitif dan adil. Persaingan ini penting untuk meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Afzanizam turut menegaskan keperluan untuk memastikan harga barangan dikawal rapi agar tidak dimanipulasi oleh kartel atau aktiviti penyorokan yang boleh menyebabkan lonjakan harga melampau.

Katanya, bekalan makanan dan barangan keperluan juga perlu mencukupi sepanjang masa, selain memperkukuh tadbir urus berintegriti dalam sektor awam dan swasta.

“Gejala rasuah turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kos perniagaan dan secara tidak langsung memberi kesan kepada harga barangan di pasaran.

“Oleh itu, isu gaji dan kos sara hidup perlu dilihat dari pelbagai sudut agar pendapatan yang diterima benar-benar memberi makna kepada kesejahteraan individu dan keluarga,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/06/1405216/gaji-naik-kuasa-beli-pekerja-juga-perlu-meningkat-penganalisis