KUALA LUMPUR: Langkah PETRONAS untuk mengurangkan 10 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya mencerminkan usaha syarikat minyak dan gas nasional itu dalam menyesuaikan diri dengan tekanan dan realiti baharu dalam industri minyak dan gas, menurut penganalisis.
Penganalisis Ekonomi Firma Strat369 Consulting, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata dalam keadaan harga minyak dunia yang tidak menentu dan tekanan global untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih lestari, syarikat minyak dan gas perlu menilai semula cara mereka beroperasi agar kekal berdaya saing.
Beliau berkata, dari sudut ekonomi, langkah itu menunjukkan usaha PETRONAS untuk mengurangkan kos dan menyesuaikan jumlah pekerja dengan keperluan semasa operasi.
Ia katanya selari dengan prinsip asas perniagaan, untuk mengekalkan keuntungan apabila hasil atau pendapatan dijangka lebih rendah daripada sebelumnya.
“Namun begitu, kesan pemotongan ini tidak hanya terhad kepada angka dan kos. Dalam jangka masa pendek, tindakan ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekerja dan boleh menjejaskan kelancaran beberapa bahagian operasi, terutamanya jika mereka yang berpengalaman turut terbabit.
“Tetapi jika pelaksanaannya dilakukan dengan teliti, impak terhadap pengeluaran minyak dan gas secara keseluruhan dijangka minimum. Apa yang lebih penting adalah bagaimana Petronas merancang untuk mengurus tenaga kerja yang tinggal dan apakah langkah seterusnya untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“Sekiranya syarikat mengambil kesempatan untuk melabur dalam teknologi baharu, mempercepatkan automasi dan meningkatkan kemahiran kakitangannya, maka penstrukturan ini boleh membawa manfaat dalam jangka masa panjang,” katanya kepada BH.
Mohamad Khair berkata, jika dibandingkan dengan syarikat minyak dan gas negara lain seperti Saudi Aramco atau syarikat global seperti Shell dan BP, langkah PETRONAS boleh dianggap lebih berhati-hati.
Beliau berkata, banyak firma antarabangsa telah pun melaksanakan pengurangan tenaga kerja yang jauh lebih besar selepas krisis harga minyak pada 2020 selain mula melabur secara agresif dalam sumber tenaga alternatif seperti tenaga angin dan suria.
PETRONAS pula katanya mengambil pendekatan berperingkat, berkemungkinan bagi mengelakkan kejutan mendadak dalam organisasi dan memastikan kelangsungan operasi terasnya.
“Secara keseluruhannya, langkah ini membawa mesej bahawa Petronas sedang menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam landskap industri tenaga dunia.
“Tetapi kejayaan sebenar tidak hanya bergantung kepada pengurangan tenaga kerja. Ia juga bergantung kepada sejauh mana syarikat mampu berinovasi, memperkukuh keupayaan teknologi, dan membina tenaga kerja masa depan yang bersedia menghadapi cabaran ekonomi baharu.
“Jika semua ini dilakukan dengan terancang dan inklusif, Petronas bukan sahaja boleh kekal berdaya saing, malah menjadi antara peneraju dalam era baharu tenaga global,” katanya.
Pendapat sama turut dipersetujui oleh Penganalisis Ekonomi dan Pasaran, Mohd Sedek Jantan yang menyifatkan langkah itu sebagai strategi pemotongan kos jangka masa pendek yang mungkin menandakan cabaran kewangan yang lebih mendalam.
“Dari satu sudut, langkah pengurangan pekerja dapat memberikan kelegaan segera terhadap tekanan kewangan PETRONAS.
“Namun dari sudut yang berbeza pula, ia berisiko menjejaskan kelestarian jangka panjang dengan mengurangkan kepakaran, inovasi dan semangat kerja dalam kalangan tenaga kerja,” katanya.
Mohd Sedek berkata, tekanan disebabkan margin keuntungan yang menyusut dan medan pengeluaran yang semakin kecil bakal menjejaskan kewangan PETRONAS sekali gus mengurangkan sumbangan dividen kepada kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu berlaku semua syarikat minyak dan gas global, yang menunjukkan penurunan konsisten dari 2020 sehingga sekarang, menjadikan agak mustahil untuk PETRONAS mengekalkan sumbangan dividen kepada kerajaan hanya dengan bergantung kepada hasil minyak sahaja.
Justeru itu katanya, strategi ‘Petronas 2.0’ dijangka akan dilaksanakan terhadap pelaburan baharu sama ada peralihan kepada teknologi hijau, peralatan pengguna dan industri berasaskan teknologi hijau selain memperluaskan perniagaan sekunder sedia ada seperti pembinaan.
Katanya, langkah itu mencerminkan perubahan struktur industri tenaga global yang lebih luas seperti peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Kalau kita lihat syarikat minyak dan gas global seperti BP, Shell, TotalEnergies dan Equinor, mereka meningkatkan pelaburan di dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Saudi Aramco dan syarikat lain di Timur Tengah juga turut giat melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, termasuk taman solar berskala besar di Emeriah Arab Bersatu (UAE) serta projek pengeluaran hidrogen yang menyasarkan kapasiti 1.4 juta tan setahun menjelang 2031,” katanya.
Ketika ditanya mengenai adakah anggaran Petronas terhadap harga Brent sekitar AS$75 hingga AS$80 setong untuk bajet 2025 realistik, memandangkan harga semasa sekitar AS$65, Mohd Sedek berkata, ianya pada paras optimis dan agak sukar.
Bajet Petronas dibuat berdasarkan harga minyak Brent antara AS$75 hingga AS$80 setong, namun kini harganya menghampiri AS$65, turun kira-kira 13 peratus tahun ini disebabkan ketegangan perdagangan global dan peningkatan pengeluaran oleh OPEC+.
“Perkara itu sukar jika di bandingkan dengan unjuran antarabangsa seperti AS EIA, JP Morgan dan HSBC ditambah dengan jangkaan kelemahan dolar AS. US EIA mengunjurkan AS$66 setong pada 2025 dan AS$59 setong pada 2026 manakala JP Morgan pada AS$66 (2025) dan AS$58 (2026),” katanya.