KUALA LUMPUR: Barangan bukan keperluan seperti ‘king crab’, salmon & kod, cendawan truffle, buah-buahan import, minyak pati, kain sutera dan jentera industri akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus akan berkuatkuasa 1 Julai 2025, menurut Kementerian Kewangan.
Ia susulan pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bagi menambah hasil dan meluaskan asas percukaian menerusi pelaksanaan SST yang lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, beberapa barangan pilihan premium dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Katanya, perkhidmatan sewaan atau pajakan dengan nilai perkhidmatan bercukai mencapai RM500,000 dalam tempoh 12 bulan akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 8.0 peratus.
Sebaliknya, cukai perkhidmatan itu tidak dikenakan ke atas perkhidmatan sewaan atau pajakan seperti rumah kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan dan aset ketara di luar Malaysia.