KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan terus menjadi destinasi pilihan pelaburan menarik di negara ini dengan terbaharu pelabur dari China berminat untuk membina pusat bioteknologi di negeri itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata hasrat oleh pelabur China itu dikemukakan ketika kunjungan pihaknya ke China baru-baru ini.
Katanya, kawasan seluas 161 hektar telah dikenal pasti di Bandar Enstek untuk ditawarkan bagi tujuan itu.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga komited bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin sejajar dengan usaha untuk meningkatkan lagi daya saing ekonomi negeri itu.
“Hasil perbincangan kita di China dengan beberapa syarikat bioteknologi menunjukkan pengusaha (di China) telah menyatakan hasrat mereka untuk membina satu pusat bioteknologi di negeri ini.
“Kita sudah kenal pasti 400 ekar (161 hektar) untuk kita tawarkan dan buat kerjasama bagi menarik industri bioteknologi datang ke negeri ini dan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ‘MIDF Luncheon Talk themed: Negeri Sembilan – The Next Smart Frontier’ di sini, hari ini.
Mengenai prestasi pelaburan di Negeri Sembilan, Aminuddin dalam ucapannya berkata, negeri itu adalah hos kepada lebih 500 syarikat pembuatan asing dan tempatan, dengan kebanyakannya tertumpu di daerah Seremban khususnya Nilai, Senawang, Sendayan dan Bandar Enstek.
Beliau berkata, antara syarikat multinasional yang bertapak di negeri itu adalah Samsung SDI Energy, Coca Cola, Dutch Lady, Ajinomoto, On Semiconductor, Nexperia, Nestle, Kibing, Daihatsu, TDK, Akashi Kikai, HINO, Novugen Pharma, Yakult, Sandvik dan Safran Landing Systems.
Katanya, pada 2024, Negeri Sembilan merekodkan nilai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7.25 bilion dengan pelaburan itu bakal mewujudkan lebih 4,600 peluang pekerjaan di negeri itu.
“Salah satu pelaburan yang boleh dibanggakan ialah Projek F&N Agrivalley oleh Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) yang sedang giat dibangunkan di ladang seluas 2,726 hektar dengan pelaburan bernilai RM1.8 bilion.
“Ladang ini yang akan menempatkan 20,000 ekor lembu tenusu berpotensi menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun,” katanya.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sepanjang tempoh 2019 hingga 2024, lima negara penyumbang tertinggi pelaburan asing di Negeri Sembilan adalah dari Korea Selatan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM7.49 bilion.
Katanya, ia kemudiannya diikuti pelaburan dari Sweden dengan RM5.06 bilion, Belanda sebanyak RM2.38 bilion, Singapura sebanyak RM2.38 bilion dan Jepun dengan RM1.66 bilion.
“Bagi meningkatkan daya tarik pelaburan ke Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri juga turut bercadang untuk membangunkan Pelabuhan Kontena AI yang bakal ditempatkan di Parcel E, Pasir Panjang, Port Dickson.
“Mengambil kira kesesakan operasi di pelabuhan di Port Klang, Port Dickson dilihat amat strategik untuk dijadikan tapak cadangan hab pelabuhan baharu. Cadangan ini telah pun diluluskan di peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya.
Aminuddin juga berkata, Kerajaan Negeri turut bercadang di peringkat awal untuk menjadikan 600 ekar kawasan berkenaan sebagai zon perdagangan bebas (FTZ), sekali gus akan memberi impak yang baik kepada pelabuhan baharu itu.
Mengenai prestasi ekonomi, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan pada 2022, KDNK bernilai RM50.9 bilion dan meningkat sebanyak 1.8 peratus dengan nilai RM51.9 bilion pada 2023.
Beliau berkata, jumlah KDNK Negeri Sembilan dipacu oleh sektor perkhidmatan yang menyumbang sebanyak 52.9 peratus, dan sektor pembuatan dengan sumbangan berjumlah 37.8 peratus.
Katanya, sektor lain yang turut membantu KDNK negeri itu adalah sektor pertanian, pembinaan selain perlombongan dan kuari.