BANDAR ENSTEK: Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) melakar satu lagi pencapaian penting apabila melancarkan Pusat Pengedaran (DC) serba canggih di kemudahan pengeluarannya, DLMI\@Enstek, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan dan daya saing jenama tenusu nombor satu negara itu.
Pelancaran itu bukan sahaja menandakan genap setahun pembukaan DLMI\@Enstek yang berkeluasan 13 hektar, malah bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-62 syarikat berkenaan, sekali gus menjadi satu pencapaian tiga serangkai yang bersejarah buat DLMI.
Kemudahan baharu yang dibina dalam tempoh kurang sembilan bulan itu mula dibangunkan pada 1 Ogos 2024 dan siap sepenuhnya pada 30 April 2025 hasil kerjasama rapat dengan rakan pembinaan seperti WSP Engineering Malaysia Sdn Bhd, TechnyGroup Holdings (M) Sdn Bhd dan Trip Guard Sdn Bhd.
Pengarah Urusan baharu DLMI, Veronika Winanti Wahyu Utami berkata, pelancaran pusat itu adalah detik penting bagi perjalanan masa depan syarikat yang sudah sinonim dengan kehidupan harian rakyat Malaysia sejak kecil hingga dewasa.
“Pusat Pengedaran ini bukan sekadar bangunan, ia adalah pemangkin utama aspirasi masa depan kami. Ia direka untuk memperkukuh sistem logistik, menyokong amalan kelestarian serta meningkatkan kecekapan penghantaran produk ke seluruh negara.
“Ia juga membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran pusat pengedaran itu
DLMI adalah sebahagian daripada Royal FrieslandCampina NV, kumpulan tenusu global yang berpangkalan di Belanda.
Ketua Pegawai Rantaian Bekalan FrieslandCampina, David Cutter, pula berkata pelaburan DLMI mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat induk itu terhadap agenda keselamatan makanan dan pemakanan berkhasiat di Malaysia.
“Kami percaya terhadap potensi negara ini dan mahu terus menyokong pertumbuhan mampan serta kesejahteraan masyarakat Malaysia,” katanya.
Pusat Pengedaran itu direka bentuk supaya berintegrasi sepenuhnya secara fizikal dan digital dengan kemudahan pembuatan sedia ada DLMI@Enstek, sekali gus meningkatkan ketepatan operasi, kecekapan penyimpanan dan mempercepatkan pemprosesan pesanan serta mengurangkan risiko ralat manusia.
Ia mampu menampung hampir 25,000 palet dan dibina secara strategik untuk memastikan penghantaran produk yang lebih cekap dan tepat pada masanya kepada pelanggan.
Sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian DLMI, pusat itu akan dilengkapi panel solar di bumbung menjelang akhir 2025, dengan jangkaan dapat mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 25 peratus dan mengurangkan pelepasan karbon antara 13 hingga 16 peratus berbanding tahun 2022.
Pelaburan ini juga menggambarkan kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta. Projek ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan padu kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri Sembilan serta agensi-agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Zalina Zainol, yang turut hadir pada majlis itu berkata, kemudahan baharu DLMI itu adalah contoh terbaik bagaimana pelaburan jangka panjang boleh diselaraskan dengan matlamat negara ke arah inovasi, kelestarian dan pertumbuhan inklusif.
“Pusat ini menyatukan automasi canggih dan logistik pintar, selain mencipta peluang pekerjaan serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan. Kami amat menghargai syarikat seperti DLMI yang bukan sekadar mengejar kejayaan komersial, tetapi juga menyumbang kepada ketahanan ekonomi negara,” katanya.
Utami turut menegaskan komitmen DLMI untuk terus menjadi peneraju dalam industri tenusu negara dan memainkan peranan aktif dalam membina masa depan yang lebih sihat dan lestari untuk semua rakyat Malaysia.