Keputusan Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat (AS) menghalang sebahagian besar tarif Presiden AS, Donald Trump terhadap import ke negara itu memberi harapan baharu kepada ekonomi global.
Panel tiga hakim semalam sebulat suara memutuskan bahawa Trump telah melampaui kuasanya apabila mengisytiharkan darurat untuk melaksanakan tarif perdagangan global.
Bagaimanapun, Rumah Putih mempertahankan tarif global meluas yang dilaksanakan oleh Trump sebagai ‘sah di sisi undang-undang’.
Seperti dijangka, pentadbiran Presiden Trump mencabar keputusan Mahkamah Perdagangan itu dan berjaya mendapatkan keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah lebih rendah.
Ini bermakna, tarif berkenaan masih berkuat kuasa sementara proses rayuan diteruskan.
Pentadbiran Trump juga telah memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan Persekutuan bahawa ia akan memohon ‘bantuan kecemasan’ daripada Mahkamah Agung sekiranya keputusan penangguhan tidak diberikan segera.
MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, sekiranya tarif itu dimansuhkan dan tidak lagi diambil kira dalam kos import, unjuran yang lebih positif dijangkakan bagi perbelanjaan penggunaan di AS.
Menurut firma penyelidikan pasaran itu, kos import yang lebih rendah akan mengurangkan risiko pemindahan harga, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi.
Katanya, ini akan meningkatkan sentimen pengguna dan menggalakkan perbelanjaan yang lebih tinggi.
“Dalam senario itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS boleh meningkat lebih kukuh pada kadar 1.8 peratus pada 2025, berbanding anggaran asas sebanyak 1.4 peratus,” katanya.
MIDF Research berkata, dari perspektif makroekonomi, pertumbuhan yang lebih kukuh di AS dijangka meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia daripada 4.0 peratus kepada 4.6 peratus.
“Pengurangan kebimbangan terhadap tarif timbal balas dan permintaan yang lebih menggalakkan dari AS adalah positif untuk prestasi perdagangan luar Malaysia, khususnya produk elektrik & elektronik (E&E).
“Aktiviti pengeluaran juga dijangka mengukuh selaras dengan peningkatan permintaan luar, di samping pengembangan berterusan dalam penggunaan domestik,” katanya
MIDF Research berkata, disebabkan prospek perdagangan yang lebih cerah, pihaknya menganggarkan peningkatan tambahan sekitar 0.6 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK Malaysia.
Katanya, sokongan tambahan daripada aktiviti perdagangan boleh juga datang daripada pelaksanaan strategi ‘aktiviti dilakukan lebih awal’ atau ‘front-loading’ secara agresif.
“Senario kenaikan itu boleh menyaksikan pertumbuhan KDNK Malaysia kembali kepada jangkaan 4.6 peratus seperti sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, peningkatan import akan mengehadkan kesan positif daripada pertumbuhan eksport.
Katanya, pertumbuhan KDNK Malaysia yang berkembang sederhana 4.4 peratus pada suku pertama 2025 juga disebabkan oleh pengurangan inventori.
“Jika prospek perdagangan menjadi lebih cerah, kami menjangkakan akan berlaku pembinaan semula inventori. Ini akan mengakibatkan peningkatan import bahan mentah dan barang perantaraan.
“Akibatnya, sumbangan eksport bersih kepada pertumbuhan KDNK keseluruhan akan terhad,” katanya.
Di sebalik jangkaan positif itu, MIDF Research berkata,masih terdapat kebimbangan mengenai risiko penurunan.
Katanya, ini terutamanya jika ketegangan perdagangan kembali meningkat selain mencabar keputusan mahkamah perdagangan antarabangsa, kerajaan AS mungkin akan memperkenalkan lebih banyak sekatan perdagangan melalui langkah bukan tarif.
“Walaupun langkah-langkah sedemikian mungkin membantu mengurangkan defisit perdagangan AS, ia bagaimanapun kurang menyokong penyatuan fiskal berbanding tarif atau levi tradisional,” katanya.