Harga sawit melonjak selepas India turunkan cukai minyak masak

JAKARTA: Niaga hadapan minyak sawit Malaysia meningkat hari ini, susulan pasaran minyak masak Dalian yang lebih kukuh dan pengurangan cukai import asas India ke atas minyak masak mentah.

Kontrak minyak sawit penanda aras untuk penghantaran Ogos di Bursa Malaysia Derivatives Exchange naik sebanyak RM89, atau 2.29 peratus, kepada RM3,967 (AS$934.07) satu tan pada waktu rehat tengah hari.

“Niaga hadapan minyak sawit mendapat kekuatan daripada pasaran minyak masak China dan disokong oleh prospek permintaan yang bertambah baik selepas India, pengimport minyak sawit terbesar dunia, mengumumkan pengurangan cukai import ke atas minyak masak mentah,” kata ahli strategi komoditi di firma broker Phillip Nova yang berpusat di Singapura, Darren Lim.

India menurunkan cukai import asas ke atas minyak masak mentah kepada 10 peratus pada Jumaat lalu, sebagai usaha untuk menurunkan harga makanan dan membantu industri penapisan tempatan.

Selain itu, kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini meningkatkan daya tarikan minyak sawit sebagai bahan mentah biofuel, menyumbang kepada sentimen positif, kata Lim.

Kontrak minyak soya paling aktif di Dalian meningkat 0.52 peratus, manakala kontrak minyak sawit naik 1.53 peratus.

Harga minyak soya di Chicago Board of Trade pula naik 0.3 peratus.

Minyak sawit menjejaki pergerakan harga minyak masak pesaing kerana ia bersaing untuk mendapatkan bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.

Syarikat pemeriksaan bebas AmSpec Agri Malaysia berkata, eksport produk minyak sawit Malaysia bagi bulan Mei meningkat 13.2 peratus, manakala menurut peninjau kargo Intertek Testing Services, ia meningkat 17.9 peratus.

Indonesia mengeksport 6.41 juta tan minyak sawit mentah dan yang diproses dalam tempoh Januari hingga April, turun 5.37 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut data daripada biro statistik yang dikeluarkan semalam.

Harga minyak meningkat disebabkan kebimbangan terhadap bekalan, dengan Iran dijangka menolak cadangan perjanjian nuklear Amerika Syarikat (AS) yang penting untuk melonggarkan sekatan ke atas pengeluar minyak utama itu, manakala kelemahan dolar juga menyokong harga komoditi itu.

Niaga hadapan minyak mentah yang lebih kukuh menjadikan minyak sawit pilihan yang lebih menarik sebagai bahan mentah biodiesel.

Minyak sawit kelihatan neutral dalam julat sempit antara RM3,860 hingga RM3,886 setiap tan, dan jika melepasi julat ini boleh memberi petunjuk arah pergerakan, kata penganalisis teknikal Reuters, Wang Tao.

-Reuters

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/06/1404053/harga-sawit-melonjak-selepas-india-turunkan-cukai-minyak-masak