ASEAN 2025 tonjol hala tuju baharu hadapi cabaran global

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang melabuhkan tirainya semalam, disifatkan sebagai berjaya dan melangkaui kebiasaan, dengan membentangkan hala tuju baharu rantau ini dalam mendepani cabaran geopolitik global yang semakin kompleks.

Penganalisis melihat sidang yang berlangsung selama dua hari bermula 26 Mei lalu itu membawa pendekatan lebih menyeluruh, menekankan keterangkuman, kelestarian serta kerjasama serantau yang lebih terbuka dan dinamik.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata pendekatan yang digarap kali ini mencerminkan kematangan ASEAN dalam membina hubungan luar serta memperkukuh peranan sebagai pemudah cara dalam sistem antarabangsa.

“Berbanding sidang terdahulu di bawah kepengerusian Indonesia pada 2023 yang memberi fokus kepada pemulihan pasca pandemik dan isu Myanmar, serta sidang 2024 di Laos yang mengetengahkan daya tahan dan keterhubungan, ASEAN 2025 tampil dengan pendekatan geopolitik yang lebih luas dan terbuka kepada perkongsian baharu.

“Buat julung kalinya, ASEAN berjaya menghimpunkan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dalam satu sidang kemuncak bersama, sekali gus meluaskan spektrum kerjasama strategik dan ekonomi di luar rangka tradisional rakan dialog seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Australia,” katanya kepada BH.

Mohd Sedek berkata, perkembangan itu turut mencerminkan aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh semula kedudukan ASEAN dalam landskap antarabangsa yang sedang berdepan perpecahan dan ketidaktentuan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut berkongsi pandangan senada bahawa sidang kemuncak berkenaan membawa petunjuk jelas terhadap komitmen global terhadap ASEAN.

Katanya, kehadiran negara GCC dan China memberi isyarat positif terhadap potensi rantau ini sebagai rakan dagang dan pelaburan, selain tarikan baharu bagi pengukuhan hubungan serantau.

“Negara seperti Timor Leste dan Papua New Guinea juga menunjukkan minat menyertai ASEAN, memperlihatkan bahawa kewujudan ASEAN masih relevan dan penting dalam mendepani cabaran seperti perang dagang serta risiko geopolitik.

“Antara bidang tumpuan yang terus diberi perhatian termasuk pendigitalan, e-dagang, tenaga boleh baharu, grid kuasa, telekomunikasi dan pembangunan modal insan,” katanya.

Mohd Afzanizam menegaskan, pelaksanaan konsisten dan sistematik terhadap segala inisiatif yang dirangka dalam sidang kemuncak ini amat penting bagi memastikan manfaat dapat dinikmati semua pihak – daripada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), graduan, syarikat korporat, pelabur hinggalah ke peringkat kerajaan.

Beliau menambah, kejayaan sebenar bukan sekadar pada perancangan dan komitmen yang diumumkan, tetapi bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan dan keupayaan ASEAN memantau serta menilai kemajuan inisiatif secara berterusan.

“Setiap pencapaian perlu dicerap dengan teliti supaya sebarang jurang dapat dikenal pasti dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/05/1401630/asean-2025-tonjol-hala-tuju-baharu-hadapi-cabaran-global