KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd menjalin kerjasama dengan Fullgoal Asset Management (HK) Limited (Fullgoal HK) dan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) bagi meningkatkan integrasi kewangan antarabangsa dan daya saing pasaran modal.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed, berkata kerjasama itu bertujuan untuk memudahkan penyenaraian Dana Dagangan Bursa (ETF) berasaskan luar negara di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, ia sekali gus memberikan pelabur tempatan akses kepada lebih banyak pilihan pelaburan dan pendedahan kepada pasaran global.
Katanya, Bursa Malaysia juga terus memperkukuh ekosistem ETF tempatan menerusi pelbagai inisiatif berstruktur dan strategik, termasuk pembangunan ekosistem, libat urus pemegang taruh, serta pertandingan ETF Challenge bagi meningkatkan kesedaran dan literasi pelabur runcit.
Menurutnya, Bursa Malaysia ketika ini menawarkan 17 ETF yang diterbitkan oleh enam pengeluar dengan jumlah Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) sekitar RM2.4 bilion.
“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperluas landskap ETF Malaysia, memberikan pelabur lebih kepelbagaian serta peluang pelaburan global.
“Ia akan memperkukuh kedudukan Bursa Malaysia sebagai pintu masuk pelaburan, menghubungkan Malaysia dengan pasaran kewangan antarabangsa,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Forum Perniagaan ASEAN 2025, hari ini.
MoU itu mencerminkan komitmen bersama antara Bursa Malaysia, Fullgoal HK dan CGS MY untuk mengukuhkan kerjasama bagi mempromosikan keterhubungan pasaran modal antara China dan Malaysia, memperkayakan penawaran produk rentas sempadan dan mempertingkatkan keupayaan pembangunan rentas sempadan industri pengurusan aset.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fullgoal Fund, Ge Chen, berkata kerjasama itu turut menekankan hubungan kukuh antara China dan Malaysia, yang berakar umbi daripada persahabatan yang telah lama terjalin.
Beliau berkata, dengan usaha bersama kedua-dua kerajaan dalam memajukan Inisiatif Jalur dan Laluan, kerjasama kewangan dan ekonomi telah bertambah kukuh.
“Pendekatan ini membolehkan Fullgoal memenuhi keperluan peruntukan aset yang pelbagai bagi pelabur sambil bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di Malaysia dan seluruh dunia untuk mencapai kejayaan bersama pada masa hadapan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS International Securities, Carol Fong, pula berkata pihaknya gembira dapat membawa keupayaan dalam pengurusan pelaburan, penyelidikan dan pengedaran ke dalam kerjasama itu.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, CGS bekerjasama dengan Fullgoal HK dalam dua ETF di Singapura, yang menawarkan kepada pelabur tempatan peluang unik untuk melabur dalam pasaran dan sektor yang sukar diakses.
“Kami teruja untuk membawa lebih banyak ETF kepada pelabur Malaysia, memenuhi matlamat untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh orang ramai,” katanya.