Dagangan Malaysia-China cecah RM161.98 bilion didorong eksport E&E – MATRADE

KUALA LUMPUR: China terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM161.98 bilion (AS$36.47 bilion) dalam tempoh Januari hingga April 2025, dipacu oleh eksport kukuh barangan elektrik dan elektronik (E&E).

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan berkata, pada tahun lalu sahaja, dagangan dua hala Malaysia-China berkembang sebanyak 7.5 peratus, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan negara.

“Hubungan dagangan Malaysia-China mendapat suntikan baharu susulan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini, yang menyaksikan pengukuhan penjajaran strategik dalam bidang pembangunan hijau, ekonomi digital dan infrastruktur serantau, khususnya menerusi inisiatif Jalur dan Laluan (BRI),” menurut kenyataan itu.

Selari dengan perkembangan positif itu, MATRADE akan mengetuai penyertaan Malaysia dalam Ekspo China-ASEAN ke-22 (CAEXPO) yang dijadual berlangsung di Nanning, China, dari 17 hingga 21 September 2025.

Ekspo berkenaan menyasarkan penyertaan lebih 100 syarikat Malaysia berpotensi tinggi dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, gaya hidup, penyelesaian digital, tenaga bersih dan inovasi – sejajar dengan trend global serta permintaan pasaran China.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, penyertaan Malaysia dalam CAEXPO 2025 membawa signifikan tersendiri dalam mengukuhkan kepimpinan ekonomi serantau, memacu pertumbuhan inklusif dan mempererat hubungan strategik komprehensif dengan China,” kata MATRADE.

Tambahnya, pelbagai aktiviti strategik akan dianjurkan sempena ekspo itu, termasuk sesi padanan perniagaan, pemilihan produk, promosi penstriman langsung bersama pempengaruh serta inisiatif libat urus secara fizikal dan maya.

“Kerjasama erat bersama Sekretariat CAEXPO dan rakan sejawat di China akan terus memperkukuh impak serta hasil libat urus Malaysia dalam ekspo berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, Datuk Mohammad Medan Abdullah, berkata CAEXPO kekal sebagai platform strategik untuk perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan dari Sarawak, menembusi pasaran China dan ASEAN.

“Perniagaan yang beroperasi di Sarawak digalakkan untuk memanfaatkan fasiliti serta perkhidmatan MATRADE dalam usaha mengembangkan operasi ke pasaran lebih luas di China.

“Tambahan pula, Sarawak memiliki kekuatan dalam bidang tenaga boleh baharu dan hijau, pembuatan bernilai tinggi serta industri hiliran berasaskan sumber,” katanya.

Sejak penyertaan sulung Malaysia di CAEXPO pada 2004, lebih 2,000 syarikat tempatan sudah mengambil bahagian menerusi MATRADE, yang secara kolektif berjaya menjana nilai eksport terkumpul berjumlah RM6.69 bilion.

MATRADE menegaskan bahawa peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menerajui keutamaan serantau merangkumi daya tahan perdagangan, pendigitalan serta pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan inklusif di seluruh rantau ini. – Bernama

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/05/1401656/dagangan-malaysia-china-cecah-rm16198-bilion-didorong-eksport-ee