KUALA LUMPUR: Pekerja formal warganegara Malaysia dalam persentil ke-90 atau 10 peratus teratas di negara ini menerima upah sekurang-kurangnya RM10,800 sebulan pada Disember 2024, peningkatan 5.9 peratus berbanding setahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata melihat kepada taburan upah, 29.2 peratus pekerja formal warganegara menerima median upah bulanan di bawah RM2,000 pada Disember 2024, berkurang sebanyak dua mata peratus berbanding Disember 2023.
“Selain itu, analisis persentil menunjukkan kumpulan 10 peratus terendah pekerja formal warganegara menerima median upah bulanan sebanyak RM1,500 atau kurang setiap bulan.
“Perbezaan ini menggambarkan bahawa pekerja dalam persentil ke-90 menerima lebih tujuh kali ganda upah daripada kumpulan penerima upah terendah, menunjukkan jurang upah antara penerima upah tertinggi dan terendah,” katanya dalam kenyataan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Keempat 2024 yang diterbitkan oleh DOSM, hari ini.
Laporan itu mendedahkan bahawa median upah bulanan dalam sektor formal meningkat kepada RM3,045 dengan pertumbuhan lima peratus pada Disember 2024.
Secara purata, median upah tahunan pada 2024 meningkat sebanyak enam peratus berbanding 2023.
Mohd Uzir berkata, peningkatan median upah bulanan menandakan landskap pasaran buruh yang lebih baik, sejajar dengan pengembangan ekonomi yang semakin meningkat pada suku keempat 2024.
Beliau berkata, bilangan pekerja dalam sektor formal juga terus menunjukkan peningkatan tahun ke tahun, dengan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus kepada 6.83 juta orang pada Disember 2024.
“Dari segi pekerja formal mengikut jantina, pada Disember 2024, bilangan pekerja formal lelaki Malaysia mencapai 3.77 juta orang, menyumbang 55.2 peratus dengan median upah bulanan RM3,045.
“Sementara itu, pekerja formal perempuan menyumbang 44.8 peratus, bersamaan dengan 3.06 juta orang dengan median upah bulanan RM3,000.
“Berbanding Disember 2023, median upah bulanan bagi kedua-dua pekerja formal lelaki dan perempuan menunjukkan trend peningkatan masing-masing sebanyak 3.4 peratus dan 5.4 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata, tiga negeri melepasi median upah bulanan nasional RM3,045 dengan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM4,200, diikuti oleh Pulau Pinang pada RM3,382 dan Selangor sebanyak RM3,300.
“Sementara itu, median upah bulanan terendah direkodkan oleh Sabah, Perlis dan Kelantan pada tempoh yang sama dengan masing-masing sebanyak RM2,000, RM1,764 dan RM1,664,” katanya.
Dalam pada itu, meneliti statistik mengikut aktiviti ekonomi juga menunjukkan bahawa semua sektor mencatatkan peningkatan median upah bulanan pada ketiga-tiga bulan pada suku tahun keempat 2024.
Sektor perlombongan & pengkuarian, yang hanya membentuk 0.6 peratus daripada semua pekerja formal, mencatatkan peningkatan tahun ke tahun tertinggi sebanyak 9.6 peratus dalam median upah bulanan, mencecah RM7,500 pada Disember 2024.
Sebaliknya, sektor pertanian, yang mewakili 1.9 peratus daripada pekerja formal, merekodkan median upah bulanan terendah iaitu RM2,382, menunjukkan peningkatan 3.6 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.
Sumber: BH Online