KUALA LUMPUR: Pertumbuhan gaji pekerja pada 2025 dijangka lebih tinggi berbanding kadar inflasi, sekali gus meningkatkan kuasa beli pengguna, demikian menurut penganalisis.
BIMB Securities Research berkata, apabila inflasi kekal lebih rendah berbanding pertumbuhan gaji nominal, kuasa beli meningkat, membolehkan pengguna membeli lebih banyak barangan dan perkhidmatan.
Katanya, dinamik itu akan menyokong perbelanjaan pengguna, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.
Menurutnya, bagi 2025, pihaknya menjangkakan inflasi berada pada 2.7 peratus dengan mengambil kira pelaksanaan rasionalisasi petrol RON95 yang dijangka menjelang pertengahan tahun ini.
“Pertumbuhan gaji benar yang mampan di atas inflasi sering dikaitkan dengan pasaran buruh yang kukuh, peningkatan produktiviti atau dasar kerajaan yang menggalakkan kenaikan gaji,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
BIMB Securities Research menjangkakan pertumbuhan gaji yang lebih kukuh pada 2025, didorong sebahagiannya oleh kenaikan gaji perkhidmatan awam berkuat kuasa Disember 2024, diikuti pusingan kedua pada Disember 2025.
Katanya, ia juga sejajar dengan aliran kenaikan gaji yang dilihat pada 2024, di mana gaji median untuk sembilan bulan pertama meningkat kepada RM2,779, peningkatan enam peratus berbanding RM2,621 dalam tempoh sama 2023.
BIMB Securities Research turut menjangkakan pasaran buruh Malaysia dijangka berkembang dan stabil pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, inisiatif kerajaan dan pengembangan sektor utama seperti pelancongan, pembinaan dan penjagaan kesihatan.
Ia berkata, dengan unjuran kadar pengangguran sebanyak 3.2 peratus, Malaysia semakin menghampiri guna tenaga penuh, menjadikan persekitaran yang menggalakkan untuk perbelanjaan pengguna yang mampan dan pengembangan ekonomi.
“Sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan akan memacu penciptaan pekerjaan. Sektor pelancongan bersedia untuk tahun yang kukuh, disokong oleh usaha sektor kerajaan dan swasta, perhubungan yang lebih baik dan pelancongan kebudayaan,” katanya.
Ia menambah, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan menganjurkan acara penting, meningkatkan perniagaan dan perjalanan riadah.
Selain itu, persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 sedang dijalankan, menyasarkan masing-masing 31.4 juta pelawat pada 2025 dan 35.6 juta pelawat pada 2026, dengan RM147 bilion unjuran resit pelancongan, katanya.
Sumber: BH Online