KUALA LUMPUR: Majoriti atau 85 peratus rakyat Malaysia bakal berdepan krisis pengagihan pusaka tanpa perancangan yang betul untuk menguruskan warisan keluarga, demikian menurut kaji selidik Sun Life Malaysia.
Kaji selidik bertajuk ‘Insure or Unsure: Sun Life Insurance Literacy Survey’ yang mengkaji tahap pengetahuan dan tingkah laku rakyat Malaysia terhadap celik insurans dan perancangan pusaka itu mendedahkan hanya segelintir rakyat Malaysia mengambil langkah bermakna untuk merancang warisan keluarga.
Kaji selidik membabitkan 1,040 rakyat Malaysia yang meliputi pelbagai kumpulan pendapatan dan kawasan geografi itu turut mendedahkan tahap yang membimbangkan, walaupun 65 peratus daripada responden mengakui kepentingan perancangan pusaka.
Menurut Sun Life, perancang yang proaktif lazimnya menggunakan alat seperti insurans/takaful (71 peratus), dana amanah (53 peratus) dan wasiat (44 peratus).
Namun, majoriti masih belum bersedia, menyebabkan keluarga mereka terdedah kepada kemungkinan ketidakstabilan kewangan, potensi pertikaian dan ketiadaan pemindahan kekayaan antara generasi.
Faktor halangan utama kaji selidik itu seperti didedahkan termasuk kekangan kewangan (41 peratus), kekurangan ilmu (39 peratus) dan percanggahan matlamat kewangan (35 peratus).
Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Raymond Lew, berkata dapatan yang diperolehi hasil kaji selidik itu menunjukkan satu fenomena yang membimbangkan, apabila majoriti keluarga belum bersedia, sekali gus menimbulkan risiko ketidaktentuan kewangan kepada orang tersayang.
Katanya, dengan pendekatan yang lebih bersepadu yang menghormati nuansa budaya dan menyediakan alat yang mudah diguna pakai, trend membimbangkan itu boleh diubah bagi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk keluarga di Malaysia.
“Dalam kalangan 65 peratus yang menyedari keperluan untuk perancangan pusaka, 60 peratus sudah berkahwin, 34 peratus masih bujang, dan enam peratus sudah bercerai, balu atau berpisah, dengan individu sudah berkahwin yang mempunyai anak paling sedar akan keperluan untuk melindungi kewangan keluarga mereka.
“Bagaimanapun, tanpa perancangan yang kukuh, mereka masih mempertaruhkan keterjaminan kewangan tanggungan,” katanya.
Hasil kaji selidik itu juga menekankan bahawa budaya dan kepercayaan agama memainkan peranan penting membentuk amalan perancangan legasi, terutamanya dalam kalangan responden Melayu yang cenderung memilih alat pengagihan harta Islam seperti hibah (hadiah) dan wasiat yang patuh Syariah.
“Satu faktor yang menggalakkan adalah 54 peratus daripada mereka yang telah memulakan perancangan pusaka mendapatkan nasihat profesional, menunjukkan kepercayaan yang semakin tinggi terhadap pakar untuk menangani kerumitan perancangan pusaka,” tambah Lew.
Kaji selidik Sun Life turut mendedahkan, dalam kalangan golongan berpendapatan tinggi dengan pendapatan isi rumah lebih daripada RM5,000 sebulan, 72 peratus menganggap perancangan pusaka sebagai penting.
Sebaliknya, hanya 45 peratus daripada mereka yang berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM2,000 menganggap perancangan pusaka sebagai penting.
Selain itu, dalam kalangan 11 peratus responden belum mengambil sebarang langkah ke arah perancangan pusaka, 68 peratus tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dan langsung tidak mengendahkan isu berkenaan.
Perkembangan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan, selain melebarkan jurang kekayaan.
Sumber: BH Online