Ekuinas perkasa sektor keselamatan siber dengan pelaburan dalam Bluesify

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melabur dalam Bluesify Solutions Sdn Bhd (Bluesify), penyedia perkhidmatan keselamatan terurus (MSSP) tempatan, bagi memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara.

Pelaburan strategik menerusi Dana Asas I Ekuinas ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memacu pertumbuhan perniagaan Bumiputera dalam sektor strategik.

Ditubuhkan pada 2012, Bluesify menawarkan rangkaian penyelesaian keselamatan siber lengkap, termasuk pusat pengesanan dan tindak balas siber terurus, risikan dan pemburuan ancaman, perkhidmatan tindak balas insiden serta perundingan keselamatan siber.

Bluesify kini mempunyai pelanggan dalam pelbagai sektor, termasuk kewangan, tenaga dan infrastruktur, penjagaan kesihatan, kerajaan serta badan berkanun.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, berkata ancaman siber semakin meningkat dari segi skala serangan dan tahap kecanggihannya, memberi kesan negatif kepada perniagaan serta individu.

“Pelaburan kami dalam Bluesify adalah langkah strategik untuk mengukuhkan keselamatan ekosistem siber negara dan memastikan syarikat serta perniagaan mendapat perlindungan mencukupi daripada ancaman digital yang semakin berleluasa.

“Dengan modal pertumbuhan ini, Bluesify akan memperluaskan tawaran perkhidmatannya merangkumi seluruh kitaran hayat keselamatan siber, selain mengembangkan Pusat Pengesanan dan Tindak Balas Terurus (MDR),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Bluesify juga merancang untuk mengembangkan operasi ke pasaran serantau bagi memenuhi permintaan terhadap penyelesaian keselamatan siber yang lebih canggih di Asia Tenggara.

“Menerusi Bluesify, Ekuinas menembusi industri keselamatan siber yang berkembang pesat di Asia Tenggara, dengan kadar pertumbuhan terkompaun tahunan dianggarkan 9.5 peratus, daripada AS$4.9 bilion (RM21.8 bilion) pada 2025 kepada AS$7.1 bilion (RM31.3 bilion) pada 2029,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bluesify, Izman Ibrahim, berkata pelaburan ini menandakan pencapaian penting yang bakal membawa syarikat ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Kami bekerjasama dengan Ekuinas untuk mengukuhkan kedudukan Bluesify dalam industri dan komited menyediakan perkhidmatan keselamatan siber berteraskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan perlindungan optimum dalam ekosistem digital yang sentiasa berubah.

“Pelaburan ini juga bertepatan dengan penggubalan Akta Keselamatan Siber Malaysia 2024, yang menetapkan syarat pelesenan lebih ketat terhadap penyedia perkhidmatan keselamatan siber serta pematuhan kawal selia lebih ketat bagi pemilik dan pengendali Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII),” katanya.

Beliau menambah, Bluesify berada pada kedudukan kukuh untuk membantu syarikat dan perniagaan memenuhi keperluan baharu ini, sekali gus melindungi sistem kritikal serta menjamin pematuhan peraturan yang ditetapkan.

Sumber: BH Online