Sektor teknologi Malaysia dijangka catat pertumbuhan di sebalik tarif AS

KUALA LUMPUR: Keuntungan sektor teknologi Malaysia dijangka meningkat tahun ini, didorong oleh permintaan lebih kukuh dan pemulihan keseluruhan dalam industri semikonduktor, meskipun berdepan cabaran tarif Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Dalam nota penyelidikannya, RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan sektor teknologi negara mencatat pertumbuhan tahun ini, dengan potensi peningkatan dalam jangka terdekat berikutan keperluan penghantaran pesanan segera sebelum pelaksanaan tarif baharu AS.

“Kami menjangkakan keuntungan sektor ini melonjak 37.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada 2025, dipacu pemulihan kukuh dalam industri semikonduktor,” katanya.

RHB IB turut memaklumkan bahawa keputusan kewangan suku keempat 2024 (4Q 2024) kebanyakannya di bawah jangkaan, dengan empat daripada sembilan syarikat dalam liputannya gagal memenuhi unjuran, terutamanya akibat tekanan margin meskipun pendapatan keseluruhan meningkat dan kadar penggunaan kapasiti lebih tinggi.

Firma itu juga menyoroti Indeks Teknologi Bursa Malaysia (KLTEC) yang merosot ke paras terendah dalam tempoh empat tahun selepas penurunan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Faktor utama kejatuhan itu termasuk prestasi syarikat yang lemah, risiko tarif AS serta sentimen pasaran yang berhati-hati.

“Namun, kami terus melihat trend pertumbuhan pendapatan tahunan lebih kukuh pada 4Q 2024, dengan pemulihan beransur-ansur yang dijangka bertambah rancak sepanjang 2025,” katanya.

Walaupun ketidaktentuan akibat perang dagangan AS-China berterusan, syarikat teknologi tempatan melaporkan pesanan yang semakin meningkat, disokong pemulihan dalam segmen utama seperti telefon pintar, kecerdasan buatan (AI), pelayan (server) dan litar bersepadu pengurusan kuasa.

RHB IB turut menjangka pertumbuhan keuntungan suku pertama 2025 (1Q 2025) kekal stabil atau sedikit meningkat secara sukuan, disokong oleh pengukuhan dolar AS berbanding ringgit serta faktor penggunaan kapasiti yang stabil, walaupun berdepan kelemahan bermusim dalam tempoh itu.

Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota berasingan meramalkan pertumbuhan keuntungan bersih sektor teknologi sebanyak 16 peratus tahun ini, lebih rendah daripada anggaran awal 25 peratus.

Firma itu berkata semakan semula unjuran itu disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam tiga sub-sektor utama, iaitu peralatan ujian automatik, pemasangan dan ujian semikonduktor secara kontrak, serta perkhidmatan pembuatan elektronik.

“Pemulihan permintaan kekal tidak menentu akibat sentimen pengguna yang lemah berikutan ketidaktentuan ekonomi global, yang semakin memburuk dengan pelaksanaan tarif baharu dan risiko kemelesetan di AS.

“Oleh itu, risiko terhadap pertumbuhan keuntungan sektor ini masih berterusan,” kata CIMB Securities.

Firma itu turut menyatakan bahawa kerjasama harta intelek baharu antara kerajaan Malaysia dan Arm Holdings Plc akan mempercepatkan usaha negara dalam reka bentuk litar bersepadu semikonduktor peringkat hadapan.

“Langkah ini berpotensi menarik pelaburan asing, memperluas ekosistem serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Bagaimanapun, kejayaan bergantung kepada pelaksanaan berkesan, kesiapsiagaan industri, keupayaan mengekalkan bakat tempatan dan daya saing global.

“Syarikat yang sudah mempunyai akses pasaran kukuh akan memiliki kelebihan dalam mengembangkan penyelesaian melebihi keperluan pelanggan khusus, melaksanakan reka bentuk cip dengan jayanya dan mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor,” katanya. – Bernama

Sumber: BH Online