Ekonomi Malaysia disokong perbelanjaan pengguna, kitaran naik pelaburan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada Januari 2025 didorong oleh perbelanjaan pengguna yang teguh dan kitaran meningkat pelaburan ke negara ini, demikian menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan, Maybank IB menjelaskan, prestasi perdagangan runcit yang kukuh memberikan petanda positif terhadap perbelanjaan pengguna.

Ia menjangkakan penggunaan swasta akan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2025, meningkat berbanding 5.1 peratus pada 2024 di tengah-tengah kadar pengangguran yang rendah berterusan.

Katanya, langkah Belanjawan 2025 turut memberikan sokongan seperti kenaikan gaji penjawat awam Fasa 1 yang bermula 1 Disember 2024, kenaikan gaji bulanan minimum kepada RM1,700 berbanding RM1,500 berkuat kuasa 1 Februari 2025 dan pemberian tunai yang tinggi kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Di samping itu, bank pelaburan itu menambah bahawa kitaran meningkat pelaburan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka yang utuh secara mampan dalam import barangan modal dan pinjaman sistem perbankan untuk bangunan perindustrian, kilang dan tanah.

Maybank IB juga mengekalkan unjurannya terhadap kadar pengangguran bagi tahun 2025 kepada 3.2 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2024.

Ia berkata, pasaran pekerjaan berada dalam ‘guna tenaga penuh’ dari perspektif kadar pengangguran, ditambah dengan langkah Belanjawan 2025 yang meningkatkan pendapatan pekerja dan pengguna.

Katanya, pelbagai pelepasan cukai pendapatan peribadi juga adalah petanda baik untuk prospek perbelanjaan pengguna.

“Oleh itu kami menjangkakan penggunaan swasta benar berkembang lebih pantas sebanyak 5.8 peratus pada 2025.” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Maybank IB bagaimanapun menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang perlahan pada Januari 2025 dengan pertumbuhan kira-kira 3.9 peratus berbanding 5.4 peratus pada Disember 2024.

Berdasarkan analisisnya, unjuran itu mengambil kira prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP), Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI), dan minyak sawit mentah (MSM), yang secara kolektif menyumbang 51.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sepanjang dua tahun lalu, anggaran KDNK bulanan kami menunjukkan secara purata sekitar 1.0 mata peratusan lebih rendah daripada KDNK benar,” katanya.

Sumber: BH Online