Prestasi sektor pengangkutan lebihi jangkaan

KUALA LUMPUR: Keputusan kewangan sektor pengangkutan bagi suku keempat 2024 rata-rata melangkaui jangkaan penganalisis dipacu pertumbuhan ekonomi stabil dalam ekonomi penting dunia.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah, berkata keputusan sektor berkenaan turut dibantu prestasi Westports Holdings Bhd (Westports), meskipun syarikat logistik bermodal lebih rendah mencatatkan keputusan bercampur aduk.

Katanya, prestasi Westports menjangkaui anggaran RHB Investment Bank dan konsensus pada 106 hingga 108 peratus ramalan sepenuh tahun disokong belanja mengurus lebih rendah daripada yang dijangka dan hasil sewaan lebih tinggi berbanding anggaran.

“Kami kekalkan saranan NEUTRAL untuk sektor ini, seiring dengan saranan NEUTRAL yang kami beri kepada saham bermodal besar sektor ini iaitu Westports,” katanya dalam nota penyelidikan.

Westports merekodkan untung bersih teras RM266 juta pada suku keempat dengan pendapatan setahun penuh 2024 mencecah RM902 juta.

Prestasi positif Wesports menyaksikan bank pelaburan itu meningkatkan perolehan tahun kewangan 2025 hingga 2026 kepada 7.0 hingga 8.0 peratus bagi mengambil kira semakan menaik pada anggaran hasil sewaan dan belanja mengurus lebih rendah.

Syahril berkata, Jabatan Ekonomi RHB masih optimis akan prestasi perdagangan Malaysia tahun ini di mana industri berasaskan eksport di tanah air ini dijangka meraih manfaat daripada gambaran positif dalam ekonomi dunia.

Beliau berkata, hal itu dipacu oleh keadaan kewangan dunia yang semakin mereda dan pertumbuhan ekonomi stabil dalam ekonomi penting.

Katanya, kesesakan pelabuhan laut di kawasan serantau rata-ratanya sudah mereda apabila syarikat perkapalan semakin biasa menggunakan laluan lebih jauh ketika berlakunya serangan kumpulan Houthi, dan tiada petanda Terusan Suez akan kembali digunakan dalam masa terdekat.

“Namun begitu, Jabatan Ekonomi RHB tetap mengambil pandangan berjaga-jaga kerana prospek perdagangan masih tidak menentu akibat perubahan-perubahan yang mungkin berlaku dalam dasar tarif akan datang, gangguan rantai bekalan dunia dan tekanan inflasi.

“Sektor ini memaparkan penurunan apabila Indeks Pengangkutan KL menurun kira-kira 4.0 peratus setakat ini selepas mencatat kenaikan 14.7 peratus tahun ke tahun pada 2024, terjejas oleh prestasi harga saham MISC Bhd yang rendah,” katanya.

Justeru, RHB Investment Bank mengekalkan saranan NEUTRAL untuk sektor pengangkutan.

Dalam sektor logistik, katanya, kami tetap positif akan TASCO Bhd, yang menjadi Saham Pilihan Utama kami atas faktor kelompok pelanggan dan segmen perniagaan yang pelbagai, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan perolehan.

“Tambahan itu, galakan cukai untuk perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) memberikan perlindungan daripada cabaran yang wujud dalam sektor ini,” katanya.

RHB Investment Bank turut meletakkan risiko negatif terhadap gambaran sektornya dengan andaian pertumbuhan ekonomi dunia yang terus merudum yang melumpuhkan aliran perdagangan dan kadar muatan kian lemah.

Sumber: BH Online