KUALA LUMPUR: Perkongsian strategik antara Malaysia dan ARM Holdings Plc (ARM) dijangka bukan sahaja meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global, malah membuka peluang lebih luas dalam pembangunan teknologi serta pertumbuhan ekonomi.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata Malaysia selama ini dikenali sebagai pemain utama dalam segmen pemasangan dan ujian semikonduktor (back-end), yang hanya menyumbang lima hingga 10 peratus daripada nilai keseluruhan industri.
Namun, katanya, melalui usaha membangunkan reka bentuk cip dengan kerjasama ARM, Malaysia berpeluang memasuki segmen lebih bernilai tinggi dalam industri ini, yang menyumbang 60 peratus daripada nilai rantaian semikonduktor global.
“Kerjasama ini juga mampu menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi tinggi kerana ia mencerminkan komitmen Malaysia terhadap industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). Sebagai peneraju cip AI global, ARM boleh menjadi pemangkin kepada syarikat teknologi antarabangsa untuk menubuhkan operasi di Malaysia.
“Selain itu, inisiatif ini dijangka melahirkan 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) melalui program latihan dan pembangunan tenaga kerja, sekali gus menyediakan pekerjaan bergaji tinggi berbanding sektor pembuatan konvensional serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan,” katanya kepada BH.
Sementara itu, penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Lee Meng Horng dan Miza Izaimi dalam nota penyelidikan mereka menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai kerjasama pertama di dunia membabitkan sebuah negara berdaulat dan syarikat teknologi global dalam membangunkan harta intelek (IP) proprietari untuk reka bentuk IC.
“Kami yakin perkongsian inovatif ini akan meletakkan Malaysia dalam kelompok negara bernilai ekonomi tinggi dengan memiliki serta memanfaatkan teknologi ARM. Ini secara tidak langsung mewujudkan ekosistem semikonduktor bahagian depan yang kukuh serta menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan dalam jangka panjang.
“Malaysia juga dijangka memperoleh kelebihan strategik dengan membangunkan produk silikon berasaskan AI yang dioptimumkan secara tempatan, selain menarik pelaburan asing dan memperkasa daya saing syarikat tempatan dalam pasaran semikonduktor,” katanya.
Penganalisis TA Securities, Chan Mun Chun pula berkata, secara keseluruhan, pihaknya optimis dengan perjanjian itu kerana ia selari dengan objektif utama Strategi Semikonduktor Nasional untuk menaikkan industri semikonduktor Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai global.
“Kami percaya perjanjian ini adalah langkah tepat memandangkan Malaysia masih belum mencapai perkembangan ketara dalam reka bentuk cip disebabkan kekurangan bakat.
“Oleh itu, kerjasama dengan ARM boleh menjadi pemacu utama dalam mempercepatkan pertumbuhan ekosistem reka bentuk cip tempatan. Jika dilaksanakan dengan baik, ia mampu membawa manfaat ekonomi jangka panjang dan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam reka bentuk cip global, selain mengurangkan kebergantungan kepada reka bentuk asing.
“Dalam masa sama, syarikat dalam sektor pemasangan dan ujian semikonduktor turut boleh mendapat manfaat daripada kesan limpahan ini, dengan peningkatan pengeluaran cip tempatan yang akan memberi impak positif kepada industri,” katanya.
Sumber: BH Online