KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan pada separuh kedua 2024 menunjukkan momentum yang stabil dengan keadaan perniagaan, jualan dan pengeluaran semakin kukuh walaupun berdepan kos yang tinggi.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pelaburan modal yang berterusan dan tahap pekerjaan yang stabil mencerminkan keyakinan strategik jangka panjang.
Beliau berkata, perkara itu berlaku ketika pengeluar mengharungi landskap ekonomi yang sentiasa berubah dengan pendekatan seimbang terhadap pertumbuhan dan pengurusan risiko.
Katanya, menjelang separuh pertama 2025, pengeluar dijangka memberi keutamaan kepada kecekapan berbanding pertumbuhan agresif dengan fokus terhadap kestabilan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, walaupun tahap pekerjaan kekal stabil dan sentimen pelaburan masih kukuh, peningkatan kos dan risiko luaran mungkin memperlahankan rancangan pengembangan perniagaan.
“Sektor ini bergerak ke arah pemulihan secara beransur-ansur, namun pendekatan berhati-hati kekal menjadi faktor utama dalam perancangan strategik.
“Perniagaan kekal optimis tetapi berhati-hati, dengan kestabilan menjadi keutamaan berbanding pengembangan yang agresif,” katanya ketika taklimat Tinjauan Keadaan Perniagaan Separuh Kedua 2024 FMM di sini, hari ini.
Thian Lai berkata, peratusan responden yang melaporkan peningkatan aktiviti perniagaan meningkat sedikit daripada 26 peratus pada enam bulan pertama 2024 kepada 27 peratus pada separuh kedua 2024.
Sementara itu, beliau berkata indeks aktiviti perniagaan meningkat daripada 93 kepada 98 mata, menunjukkan pemulihan perlahan, tetapi stabil.
Katanya, peratusan responden yang melaporkan aktiviti perniagaan katanya kekal sama meningkat daripada 42 peratus pada separuh pertama 2024 kepada 43 peratus pada separuh kedua 2024, sekali gus mengukuhkan tanda-tanda kestabilan, manakala responden yang melaporkan aktiviti lebih rendah menurun daripada 33 peratus kepada 30 peratus, mencerminkan pengurangan sentimen negatif secara berterusan.
“Secara keseluruhan, keyakinan perniagaan semakin baik tetapi masih pada kadar sederhana.
“Syarikat mengambil pendekatan tunggu dan lihat, menanti petunjuk ekonomi yang lebih kukuh sebelum membuat komitmen terhadap pengembangan,” katanya.
Thian Lai berkata, trend jualan tempatan dan eksport pada separuh kedua 2024 juga mencerminkan perubahan ekonomi yang lebih luas dan dinamik pasaran.
Beliau berkata, jualan eksport juga menunjukkan pemulihan yang lebih kukuh dan konsisten.
Katanya, peratusan responden yang melaporkan peningkatan jualan eksport meningkat secara sederhana tetapi stabil, sementara mereka yang mencatatkan jualan eksport yang kekal stabil bertambah lebih ketara, menunjukkan jangkaan kestabilan dalam permintaan global.
“Secara keseluruhan, sektor eksport pulih lebih pantas berbanding pasaran tempatan, dengan perniagaan menunjukkan keyakinan yang lebih tinggi terhadap permintaan antarabangsa.
“Sementara itu, jualan tempatan terus meningkat secara perlahan, berkemungkinan disebabkan oleh kekangan dalam pasaran domestik,” katanya.
Sumber: BH Online